Carian
Ini Pengalaman ‘5S’ Yang Ditawarkan Pada Samsung Galaxy S23 Ultra 5G
March 30, 2023 Lina Rosli

Semenjak menggunakan telefon pintar mercu yang terbaru dari Samsung iaitu Samsung Galaxy S23 Ultra 5G, Tajria merasakan pengalaman melengkapkan tugasan kini menjadi lebih mudah.

Dengan saiz skrin yang besar, penawaran cip yang lebih berkuasa selain ketahanan bateri lebih lama yang tersedia pada Samsung Galaxy S23 Ultra 5G, ia sekaligus memberikan pelbagai manfaat yang boleh dinikmati pengguna.

Sebagai contoh, peranti mudah-alih ini boleh digunakan sebagai pelengkap komputer riba ketika melakukan kerja suntingan ringkas yang tidak memerlukan perisian ketiga ataupun peneman sejati untuk jurugambar kerana keupayaannya merakam gambar dan video yang berkualiti tinggi.

Sebelum bercerita dengan lebih lanjut, Samsung Galaxy S23 Ultra 5G, ini merupakan model terbaru untuk dibawah siri Samsung Galaxy S. Peranti ini menyertakan rekaan yang lebih rata pada bahagian sisi, selain membawakan saiz yang lebih padat, nipis dan tahan lasak.

Sepanjang penggunaan Samsung Galaxy S23 Ultra 5G ini, penulis merasakan bahawa peranti bukan sahaja hadir dengan kelengkapan ‘top-tier’ kepada pengguna, malah ia turut hadir dengan sejumlah ciri yang menarik yang dilihat banyak mempengaruhi pengalaman penggunaan.

Mengapa Saya Rasa Samsung Galaxy S23 Ultra 5G Ini Menarik?

Sebelum ini, Tajria telahpun mencuba peranti dari siri yang sama iaitu Samsung Galaxy S23 dan tidak dapat dinafikan, rekaan baharu yang ditampilkan pada model berkenaan antara faktor yang cukup menarik perhatian Tajria jika dibandingkan dengan model mereka yang sebelum ini.

Namun, adakah Tajria turut akan terpegun dengan penawaran yang ditawarkan oleh Samsung Galaxy S23 Ultra 5G? Untuk mengetahuinya, di bawah adalah ‘5S’ yang kami nilai sepanjang penggunaan peranti ini.

#1 S- Saiz Yang Besar Dan Skrin Yang ‘Segak’

Jika bercerita tentang saiz peranti, sudah tentu Samsung Galaxy S23 Ultra 5G merupakan antara peranti yang terbesar pernah saya guna. Dilengkapi dengan saiz skrin sebesar 6.8 inci dengan nisbah skrin-ke-tubuh 89.9%, saya boleh katakan ia agak besar untuk digunakan oleh seorang wanita.

Walau bagaimanapun, disebabkan itu juga, pengalaman mengakses kandungan pada peranti adalah cukup selesa ditambah lagi dengan kejituan warna skrin yang cukup jelas dan terang.

Untuk pengetahuan anda, untuk skrin Samsung Galaxy S23 Ultra, jenama ini menampilkan skrin QHD+ yang dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Maka tidak hairanlah mengapa peranti ini boleh berfungsi dengan cemerlang di bawah matahari yang terik dan juga dalam kegelapan malam.

Sebut sahaja aktiviti apa yang anda lakukan, menonton video ataupun membaca buku digital, semuanya menampilkan warna skrin yang baik dan boleh dikatakan hampir sempurna untuk kegunaan harian. Cuma sewaktu menonton drama, kadangkala mata saya agak terganggu dengan keberadaan punch-hole camera pada peranti.

Selain itu, untuk saya sendiri sebagai seorang penulis, pengalaman menulis artikel di peranti mudah-alih ini juga menjadi lebih mudah kerana Samsung Galaxy S23 Ultra in membolehkan anda menaip pada ruang yang besar khusus ketika anda berada di luar tanpa komputer riba.

#2 S – Setanding Kamera Professional

Seterusnya, bagi anda yang gemar melakukan rakaman gambar dan video, anda pasti akan menggemari sensor kamera yang ditampilkan pada Samsung Galaxy S23 Ultra 5G.

Hal ini kerana, Samsung telah menambah-baik penawaran kamera peranti yang menampilkan sensor kamera yang lebih besar untuk Samsung Galaxy S23 Ultra.

Menurut Samsung, dengan penambahbaikan yang ditawarkan pada kesemua kamera peranti mereka, ia bukan sahaja memberikan pengalaman serba baharu untuk rakaman gambar tetapi juga menjadikan hasil rakaman gambar dan juga video yang lebih berkualiti tinggi di dalam sebarang situasi pencahayaan.

Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy S23 Ultra hadir dengan sistem tri-kamera. Ia menyertakan lensa sudut lebar sebesar 200MP yang merupakan sensor ISOCELL HP2. Hasilnya, ia dapat menghasilkan imej lebih tajam. Melengkapkannya adalah lensa ultra sudut lebar 12MP, telefoto 3x optikal 10MP dan telefoto 10x optikal 10MP.

Di bawah adalah beberapa sampel gambar yang dirakam menggunakan kamera utama Samsung Galaxy S23 Ultra 5G.

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, hasil rakaman gambar dan video adalah sangat memuaskan. Namun, untuk beberapa keadaan, seperti gambar makanan, warna yang terhasil pada gambar boleh dikatakan terlalu tinggi nilai saturation yang mana ia mungkin didorong oleh faktor ciri ‘Image Enhancer’ yang ditampilkan pada peranti ini.

Sementara untuk rakaman mod malam pula, hasil gambar yang dihasilkan tidak konsisten. Bergantung kepada kehadiran pencahayaan dan juga objek sekeliling, gambar kadangkala akan kelihatan terang dan jelas, namun ada kalanya tampak kusam dan sedikit gelap.

Bersama-sama dengan kebolehan rakaman gambar yang berkualiti tinggi, Samsung Galaxy S23 Ultra juga menawarkan beberapa mod menarik untuk keperluan gambar di peringkat advanced. Ia termasuk penawaran kualiti rakaman gambar sehingga 8K, mod Nightography dan juga Multiple Exposure yang ditawarkan pada kesemua peranti baharu siri Galaxy S.

#3 S – Selesa Dan Tahan Lasak

Jika anda tanya, adakah lengkungan skrin pada Samsung Galaxy S23 Ultra 5G ini boleh mewujudkan ketidakselesaan sewaktu menggenggam dan memegang peranti?

Jawapannya, ya pada awal penggunaan peranti. Namun, setelah 2 minggu menggunakannya kejanggalan penggunaan semakin tidak ketara. Ini kerana jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy S22 Ultra yang dahulu, binaan skrinnya lebih melengkung pada bahagian sisi tetapi untuk untuk model Galaxy S23 Ultra tahun ini, tubuhnya kini lebih berkotak dengan sisi rata. Oleh itu, peranti menjadi lebih selesa dalam tangan kerana luas permukaan rata yang lebih besar. 

Dari segi ketahanan pula, skrin Samsung Galaxy S23 Ultra 5G menggunakan kaca jenis Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak. Jika dilihat secara kasar, panel kaca ini tidak memerangkap kotoran dengan mudah selain turut hadir dengan piawaian IP68 untuk ketahanan debu dan juga ditenggelamkan di dalam air.

#4 S – S Pen Yang Stail

Seterusnya, saya ingin menceritakan keunikan dan juga pengalaman menarik apabila menggunakan S Pen yang ditampilkan pada Samsung Galaxy S23 Ultra.

Selain menggunakannya untuk melukis dan melakar terus di peranti, saya turut menggunakan S Pen ini sebagai alat kawalan jauh sewaktu merakam gambar. Anda hanya perlu menekan butang pada bahagian tepi pen dan mula merakam. Anda juga boleh memilih fungsi ‘Smart Select’ untuk menghasilkan GIF dari rakaman video yang anda rakam secara langsung.

Di bawah adalah contoh penggunan ciri ‘Screen Write’. Saya menggunakannya ciri ini untuk meninggalkan nota pada gambar yang diambil bagi tujuan suntingan.

#5 S – Sedia Untuk Melaksanakan Pelbagai Tugasan

Tidak lengkap pengalaman menggunakan Samsung Galaxy S23 Ultra tanpa menjelaskan tentang ciri multi-tugasan.

Fungsi ini merupakan fokus utama pada kebanyakan peranti mercu dari Samsung lebih-lebih lagi bagi siri Gaalxy S yang mana ia sangat sesuai digunakan sebagai peranti produktiviti yang memudahkan anda untuk mengurus aktiviti menggunakan peranti.

Semasa menggunakan Samsung Galaxy S23 Ultra ini, saya acapkali akan membuka lagu di Youtube sambil membaca novel-novel menarik di aplikasi Cereka. Dan melaluinya, saya boleh membuka dan memasang dua aplikasi serentak. Menarik bukan?

Pada pendapat Tajria sendiri, Samsung Galaxy S23 Ultra 5G ini sememangnya peranti mercu yang menarik untuk anda dapatkan. Di tambah lagi dengan barisan spesifikasi yang menarik, ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan pengalaman penggunaan yang cukup menarik sekaligus menjadikan peranti ini lebih unik berbanding yang lain.

Berdasarkan pengalaman 5S yang diberikan, adakah peranti ini sudahpun memikat hati anda? Jika anda ingin mendapatkannya, Samsung Galaxy S23 Ultra 5G ini boleh didapati pada harga bermula RM5699 sebuah.

Komen