FL Sanctuary dan Nuren Group, sebuah komuniti wanita terbesar dalam platform edagang di Asia Tenggara dan platform keibubapaan terkemuka Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman bersama empat jenama kemudahan berpantang utama yang lain.
Kerjasama ini memperlihatkan penubuhan Kumpulan Berpantang Berbilang Jenama (‘The Collective’) yang pertama di Malaysia, merangkumi The Sanctuary Post-Partum Care & Retreat Centre, JTL Confinement Centre, Full Love Confinement Centre, 28 Good Days Care Center dan Honey Moon Postnatal Care Center.

Menurut Nuren Group, kerjasama ini bertujuan untuk memberi sokongan menyeluruh kepada ibu-ibu baru sepanjang tempoh mereka berpantang, ini termasuk:
- sokongan perubatan daripada pakar sakit puan
- pakar pediatrik
- pakar laktasi
- mengenalpasti dan merawat tanda-tanda awal komplikasi pada ibu dan bayi
Untuk pengetahuan anda, ‘The Collective’ terdiri daripada jenama penjagaan bersalin dan berpantang terkemuka di Malaysia, akan dilengkapi dengan teknologi perubatan terkini dan dikendali oleh pakar perubatan profesional yang berpengalaman untuk menawarkan sokongan perubatan yang komprehensif.

Melaluinya juga, sebuah akademi telah ditubuhkan untuk melatih generasi penjaga wanita berpantang yang baharu. Dengan ini, para wanita boleh meningkatkan kemahiran mereka dan mula kembali ke tenaga kerja dengan lebih mudah selain membantu para ibu membuka lembaran baharu di dalam profesion yang akan mereka selami.
Akademi ini juga menawarkan kursus yang diajar oleh pakar perubatan tradisional Cina (TCM), pakar pemakanan, pakar sakit puan, pakar laktasi dan psikologi, diikuti dengan latihan praktikal di pusat berpantang.
Bagi yang berminat, ‘The Collective’ menampilkan Pakej Berpantang dan Rawatan Keguguran yang bernilai antara RM 3,600 hingga RM 24,000. Selain itu, dengan kerjasama Motherhood.com.my dan Parenting SuperApp oleh Motherhood, ‘The Collective’ dijangka akan dapat meluaskan jangkauannya melebihi pusat fizikalnya sahaja untuk menawarkan servis yang disediakan secara digital serta berhubung dengan para ibu melalui cara baharu dan inovatif.