Tips Kemas Raya – Bolehkah Anda Mencuci Bantal Dan Kusyen Menggunakan Mesin Basuh?

March 30, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Apabila bercakap mengenai bantal atau kusyen, setiap orang pasti akan ada satu bantal yang betul-betul anda gemar dan kerap menggunakannya. Dan tahukah anda bahawa disebabkan itu juga, bantal tersebut turut menjadi pusat kepada pengumpulan bakteria.

Mana tidaknya, kadangkala bantai itu tercampak ke atas lantai, kemudian dipeluk dan dipenyek menjadi pelbagai bentuk, dibuat tidur dan akhirnya menjadi tempat di mana berkumpulnya peluh, minyak dan juga sel kulit mati.

Jadi, untuk memastikan bantal anda sentiasa segar dan bersih, adalah penting untuk mengetahui kekerapan membasuhnya, cara menanggalkan kotoran, dan sama ada ia boleh dicuci dalam mesin atau tidak.

Untuk mengetahui cara pencucian bantal dan kusyen yang betul, di bawah adalah beberapa cadangan yang boleh anda praktikkan ketika membasuh setiap jenis bantal.

Bolehkah Anda Basuh Bantal Di Dalam Mesin Basuh?

Jawapannya, ia bergantung kepada jenis bantal yang anda ingin cuci. Jika bantal atau kusyen anda diisi dengan bulu atau isian gentian poliester, anda boleh menggunakan mesin basuh dan pengering untuk mencuci dan mengeringkannya.

Walau bagaimanapun, sekiranya bantal yang ingin dibasuh adalah jenis foam, kekabu atau lateks, bantal tersebut hanya boleh dicuci dengan tangan sahaja.

Jadinya, sebelum mula mencuci, pastikan anda tentukan jenis isian di dalam terlebih dahulu. Dan pastikan anda melaksanakan beberapa perkara awal seperti membersihkan dan menyedut habuk dan seterusnya baru mulakan cucian.

Berapa Kerap Bantal Perlu Dicuci?

Kebiasaannya, bantal katil yang digunakan setiap malam hendaklah dicuci sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Lebih-lebih lagi jika anda seorang yang kuat berpeluh ketika tidur atau mudah jatuh sakit, bantal hendaklah dicuci lebih kerap.

Manakala, sarung bantal dan sarung hendaklah ditukar dan dicuci setiap minggu bersama-sama dengan linen katil.

Kusyen atau bantal hiasan pula memerlukan pembersihan yang kurang kerap melainkan ia digunakan setiap hari untuk tidur siang atau tempat letak kaki. Jika anda mempunyai bantal isian gentian bulu atau poliester tanpa penutup yang boleh ditanggalkan, letakkannya dalam set pengering automatik pada kitaran tanpa haba, udara sahaja selama 10 minit untuk mengeluarkan habuk dan rambut.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd