Fahami Kepentingan Kesihatan Usus – Bagaimana Ia Boleh Mempengaruhi Emosi Individu?

April 4, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Usus dan otak merupakan dua entiti berasingan namun saling berkait rapat. Kedua organ ini mempunyai fungsi yang penting bukan sahaja membantu dalam penghadaman tetapi juga menguruskan emosi dan tekanan.

Setiap orang mempunyai mikrobiom atau komposisi usus yang unik disebabkan oleh mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan virus yang hidup di dalam saluran gastrousus (GI). Walaupun mikrobiom usus ini berbeza bergantung kepada diet, gaya hidup serta faktor-faktor lain, ia dapat mempengaruhi pelbagai aspek kesihatan seseorang seperti selera makan, berat badan dan juga emosi. 

Menurut Dr Ryan Tee Chun Keat, Pakar Perunding Psikiatri dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), paksi otak-usus (gut-brain axis) ialah sebuah hubungan dua hala di antara otak dan usus. Trilion mikroorganisma di dalam usus akan menyediakan fungsi penting untuk badan seseorang, termasuk:

  • memberi manfaat kepada kesejahteraan mental
  • memberi tindak balas terhadap sebarang tekanan dan emosi
  • membantu kognisi badan

Fahami Kepentingan Kesihatan Usus – Ada Apa Dalam Usus?

Mengekalkan kesihatan usus yang baik adalah penting untuk kesejahteraan menyeluruh kerana ia adalah asas kepada fungsi optimum badan.

Menurut Dr Tan Yu Peng, Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi dari SMCV menyatakan bahawa jika tiada keharmonian pada mikrobiom usus kita, keseimbangan kesihatan badan juga akan terkesan. 

Akibatnya, keasidan perut, tahap alkali usus, imuniti usus dan bakteria usus akan terganggu. Dan ini sekaligus akan membawa kepada masalah penghadaman seperti:

  • kembung perut
  • ketidakselesaan pencernaan
  • pedih ulu hati
  • keradangan usus

Sekiranya masalah usus ini anda peroleh dari genetik, maka langkah proaktif haruslah diambil. Ini merangkumi pilihan pemakanan dan ubat-ubatan boleh mempengaruhi dan memberi kesan kepada kesihatan usus. Hal ini amat ketara terutamanya pada mereka yang mengalami masalah gangguan pemakanan seperti anoreksia, bulimia, dan makan berlebihan (binge eating).

Selain itu, adalah penting untuk kita mengetahui dan memahami tanda-tanda usus yang tidak sihat. Untuk pengetahuan anda, pencernaan yang lemah dikesan melalui pelbagai gejala seperti kembung perut, sakit perut, cirit-birit, sembelit, berat badan yang turun dan naik, gangguan kulit, dan juga gangguan emosi.

Jika tidak dirawat, gejala ini boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius dalam jangka masa panjang seperti penyakit autoimun dan diabetes Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga berkait kesihatan usus kerana ia boleh memberi manfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan badan secara menyeluruh.

Apakah kaitan antara usus dan emosi kita?

Sering dirujuk sebagai otak kedua manusia, usus memainkan peranan penting dalam kesejahteraan mental kita secara keseluruhan. Hal ini adalah kerana sistem saraf enterik (ENS) atau sistem saraf usus yang bertanggungjawab untuk mengawal saluran gastrousus juga berkomunikasi dengan otak menggunakan neuron dan penghantar saraf (neurotransmitter) yang sama seperti sistem saraf pusat.

Ini bermakna usus dan otak kita sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain serta mempengaruhi fungsi satu sama lain dalam pada masa yang sama.

Contohnya, ketika badan berhadapan dengan ancaman, sistem saraf enterik akan memberi tindak balas “fight or flight response” dengan cara memperlahankan penghadaman untuk mengalihkan lebih banyak tenaga ke arah situasi yang menyebabkan ancaman tersebut.

Kesalinghubungan ini berkerja dua hala, kerana keadaan emosi semasa kita juga boleh memberi kesan yang ketara pada sistem GI kita. Contohnya, mereka yang mengalami kemurungan, kebimbangan melampau (anxiety), atau tekanan mungkin mengalami gejala gastrousus seperti ketidakselesaan perut, kembung perut, masalah pencernaan, kejang perut, sembelit dan cirit-birit.

Secara keseluruhannya, keseimbangan mikroorganisma dalam usus memainkan peranan penting dalam emosi seseorang. Oleh itu, penting untuk mengekalkan komuniti mikrob yang seimbang dalam usus kita untuk mendapat kesejahteraan mental yang optimum.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd