Carian
Pertama Kali Menggunakan Samsung Galaxy A54 – Apa Yang Menarik Kali Ini?
April 4, 2023 Lina Rosli

Apabila pertama kali melihat Samsung Galaxy A54, mata penulis sudah tertawan dengan warna peranti yang ditampilkan kali ini iaitu Awesome Violet.

Menampilkan vibes seperti musim panas, warna Awesome Violet ini merupakan warna yang baharu ditampilkan pada model siri Galaxy A kali ini. Dilengkapi dengan kemasan bersinar (shiny) pada belakang peranti, ia seolah-olah memberikan satu pengalaman yang baharu kepada penulis. Ini kerana tidak seperti dua model terdahulu sebelum ini Samsung Galaxy A52 dan A53 masing-masing hadir dengan kemasan belakang yang kusam (matte).

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai peranti, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda pengalaman pertama kali memegang dan menggunakan Samsung Galaxy A54 selepas ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Jadi, mampukah Samsung Galaxy A54 memenuhi keperluan Tajria ini? 

Persepsi Awal Untuk Rekaan Peranti

Sudah menjadi satu perkara yang biasa apabila membuka kotak, saya akan melihat kesemua barangan yang ditawarkan di dalam kotak. Ya benar, Samsung Galaxy A54 ini tidak menyertakan kepala pengecas di dalam kotak dan hanya hadir dengan wayar pengecas USB-C bersama-sama dengan manual penggunaan pengguna sahaja.

Pertama kali Tajria memegang Samsung Galaxy A54, saya boleh dikatakan peranti ini memberikan pengalaman genggaman peranti yang hampir sama dengan peranti mercu dari mereka iaitu Samsung Galaxy S23. Hal ini kerana, walaupun ia hadir dengan binaan plastik, namun, ia tetap kukuh di tangan di samping mempunyai berat yang bersesuaian.

Dan untuk pengetahuan anda, saiz skrin peranti ini juga sedikit lebih kecil iaitu 6.4 inci dan jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy A53, ia hadir dengan saiz skrin melangkaui 6.6 inci.

Dari segi rekaan, masih mengekalkan susunan kamera belakang secara berderet ke bawah, Samsung Galaxy A54 ini semestinya memberikan pengalaman yang baru terutamanya dari segi paparan imej yang jelas menggunakan panel skrin SAMOLED bersama kadar segar semula yang lebih tinggi iaitu 120Hz.

Walau bagaimanapun, untuk keseluruhan rekaan peranti, Samsung Galaxy A54 ini mempunyai bezel yang ketara jika dibandingkan dengan model sebelum ini. Selain itu juga, disebabkan peranti ini dilengkapi dengan kemasan licin dan bersinar, ia kerap meninggalkan kesan cap jari yang mungkin perlu kerap dibersihkan untuk kelihatan cantik.

Bukan itu sahaja, Samsung Galaxy A54 juga tidak lagi menawarkan bicu audio pada peranti dan kembali menukar tempat letak sim pada bahagian atas peranti dan bukannya pada bersebelahan dengan port pengecas.

Kamera Dan Mod Rakaman Yang Ditawarkan Pada Samsung Galaxy A54

Menarik mengenai siri Galaxy A kali ini, Samsung masih kekal memberikan pengalaman penggunaan kamera dan juga suntingan rakaman yang semakin ‘awesome’ kepada pengguna.

Samsung Galaxy A54 kali ini menampilkan sistem tri-kamera dengan lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa makro 5MP. Melengkapkan kamera adalah teknologi VDIS yang mampu mengambil gambar yang jelas dan mantap pada setiap masa di sebarang situasi.

Suntingan Gambar Lebih ‘Fun’ – Penuras Snapchat, Photo Remaster Dan Tangkapan Skrin Yang Menyeluruh

Dalam sistem kamera Samsung Galaxy A54 ini juga, penulis turut tidak ketinggalan mencuba penuras Snapchat secara terbina. Berdasarkan penggunaan pertama untuk fungsi ini, ia boleh dikatakan masih lagi menarik kerana kesan penuras yang ditampilkan keluar dengan pantas walaupun tidak disambungkan pada internet.

Bahkah, pengguna juga boleh memilih penuras lain yang tidak dicadangkan mengikut citarasa masing-masing termasuklah penuras jenis aesthetics, solekan, permandangan dan banyak lagi.

Selain mod rakaman ‘Fun’ ini, tahukah anda bahawa anda masih lagi boleh mendapatkan gambar yang lebih menarik dengan cara menyunting gambar anda menggunakan Photo Remaster.

Melalui ciri ini, anda berupaya memberi nafas baharu kepada foto lama dan berkualiti rendah selain memadam objek yang mengganggu pada latar belakang gambar. Untuk gambar dibawah, antara perbezaan menarik yang ditampilkan setelah saya melakukan ‘remaster‘ pada gambar adalah warna kulit yang lebih ceras, selain ia turut meratakan tona kulit agar tampak lebih berseri.

Ubah Gambar Menjadi Video Atau GIF

Selain itu mod suntingan yang paling menarik adalah suntingan gambar kepada GIF. Melaluinya, anda boleh terus memilih gambar yang dikehendaki dan suntingkannya menjadi GIF. Anda juga boleh mengubahsuai kelajuan GIF selain turut menawarkan fungsi perkongsian kepada orang ramai untuk GIF yang dihasilkan.

Di bawah adalah contoh-contoh GIF yang telah saya suntingkan:

Sekiranya anda ingin menggunakan mod ini, anda hanya perlu buka aplikasi Gallery>Pilih gambar di Gallery> Klik icon tiga titik dan pilih ciri GIF.

Bateri Untuk Penggunaan Tempoh Lama

Untuk bateri yang ditawarkan pada Samsung Galaxy A54, ia dilengkapi bateri berkapasiti 5,000 mAh bersama sokongan pengecasan pantas 25W yang mana penawaran ini adalah sama dengan penawaran yang disertakan pada model sebelum ini.

Walau apapun, dengan kehadiran bateri yang lebih besar, tempoh penggunaan peranti ini dijangka mampu bertahan sehingga dua hari lamanya sekiranya ia beroperasi pada kegunaan biasa sahaja.

Kekal Menyertakan Imbasan Cap Jari Terbina Dalam Skrin

Pada penawaran peranti siri Galaxy A tahun ini juga, nampaknya Samsung kekal menyertakan imbasan cap jari terbina dalam skrin. Dan ini sememangnya antara ciri yang memang digemari penulis. Hal ini kerana, untuk saya sendiri, walaupun di Malaysia sudah berada di fasa peralihan endemik, penggunaan pelitup muka ketika berada di luar masih lagi dipraktikkan.

Oleh itu, dengan adanya ciri imbasan cap jari ini, ia bukan sahaja memudahkan saya untuk mengakses terus telefon, tetapi turut dirasakan praktikal untuk digunakan pada bila-bila masa tanpa perlu saya memasukan kata laluan yang sama berulang kali. Malah, pengimbas cap jari di Samsung Galaxy A54 ini juga berupaya mengesan cap jari dengan pantas.

Selain itu, saya juga sempat mencuba tetapan Color Correction yang ditawarkan pada peranti ini. Melaluinya, pengguna khususnya individu yang mempunyai masalah rabun warna boleh memilih dan menetapkan mod yang bersesuaian. Mod yang boleh digunakan adalah Deutan, Protan, Tritan dan Greyscale.

Pada pendapat penulis sendiri, Samsung Galaxy A54 sememangnya hadir dengan rekaan dan barisan spesifikasi yang menarik. Ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan beberapa fungsi yang mampu memikat hati.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda? Nantikan ulasan Samsung Galaxy A54 dalam artikel seterusnya.

Anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan promosi menarik mengenai Samsung, sila layari laman web rasmi mereka. 

Komen