Carian
Ketahui Usia Usus Anda Dan Cara Menjaga Usus Agar Kekal Sihat
December 22, 2023 Lina Rosli

Apabila usia meningkat, badan kita perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan seperti ketumpatan tulang semakin berkurangan dan otot kehilangan daya tahan dan fleksibilitinya. Begitu juga dengan usus, mikrobiom usus juga perlu menyesuaikan diri untuk menampung perubahan badan secara keseluruhan.

Antara kesan perubahan usus kepada badan termasuklah saluran di esofagus akan bergerak lebih perlahan, dinding perut menjadi nipis dan pengeluaran rembesan jus perut juga berkurangan dari semasa ke semasa.

Faktor-faktor ini akan memberi kesan kepada keupayaan untuk mencerna makanan dan memprosesnya menjadi tenaga, justeru penting untuk mereka yang berusia untuk memberi perhatian kepada rutin harian dan perubahan pemakanan yang paling sesuai dengan keperluan mereka.

Tambahan pula, keseimbangan bakteria baik dan jahat dalam usus juga perlu dititikberatkan. Ini kerana jika ia tidak konsisten di dalam tubuh, kehadiran bakteria ini mungkin menganggu sistem pencernaan lalu mengakibatkan peningkatan bakteria berbahaya dan menyebabkan penyakit seperti refluks atau ulser peptik, radang usus dan kanser kolon menjadi penyakit kebiasaan dalam kalangan warga tua.

Proses penuaan juga boleh memberi kesan kepada pergerakan otot lalu berpotensi menyebabkan gejala tidak selesa seperti:

  • sembelit
  • cirit
  • masalah lemah kawalan pundi kencing (incontinence)
  • gatal dubur (perineum itch).

Namun, usah risau, masalah-masalah ini boleh dikurangkan selagi individu mengutamakan kesihatan daripada usia muda. Seperti kata pepatah, anda adalah apa yang anda makan, jadi ianya penting bagi kita untuk mengambil berat tentang cara pemakanan kita tanpa mengira usia kita.

Cara menguruskan kesihatan usus dan emosi 

Individu sememangnya berupaya menukar dari kesan negatif kepada kesan positif bagi kesihatan usus melalui pilihan pemakanan.

Oleh itu, amalan diet yang tinggi serat termasuk serat larut dan tidak larut amatlah penting untuk kesihatan usus. Selain itu, hadkan juga pengambilan makanan tinggi lemak dan gula.

Bukan sekadar melibatkan makanan, amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara kerap, elakkan merokok dan pengambilan alkohol serta kafein boleh menyumbang kepada usus yang sihat. Anda juga boleh melakukan perkara yang mereka gemari seperti:

  • keluar berjalan-jalan
  • meluangkan masa bersama orang tersayang
  • berehat secukupnya untuk membantu kesihatan usus dan mental mereka.

Apabila kita melakukan aktiviti yang kita gemari, otak kita akan mengeluarkan dopamin atau hormon gembira yang memberikan kepada tubuh sensasi keseronokan. Anda juga boleh merangsang otak dengan melakukan aktiviti digemari.

Secara umumnya, mengamalkan gaya hidup sihat, mengurus tekanan dengan baik dan menjaga kesejahteraan mental kita boleh membantu dalam mengawal kesihatan usus dan meningkatkan kesihatan kita secara menyeluruh.

Selain itu, tambah pengambilan prebiotik dan probiotik ke dalam diet kita kerana ia boleh membantu dalam mencapai mikrobiom usus yang sihat.

Bakteria mesra ini memainkan peranan penting dalam membantu kita mencerna makanan yang kompleks dan menukarnya kepada bentuk yang lebih mudah untuk diserap oleh badan kita dengan mudah. Oleh itu, prebiotik berfungsi sebagai sumber khasiat penting untuk mikrob usus lalu memastikan sistem pencernaan kita kekal sihat. Akhir sekali, probiotik boleh hadir dalam bentuk makanan semula jadi seperti yogurt, atau dalam bentuk suplemen.

Komen