Bask Bear Coffee Memperkenalkan Konsep Kafe Di Dalam Bank – Kini Dibuka Di 3 Cawangan Ambank

April 4, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Rangkaian kopi popular Malaysia, Bask Bear Coffee telah bekerjasama dengan Kumpulan AmBank untuk membuka tiga cawangan kafe-di-bank (cafe-in-bank) dan merancang untuk melancarkan konsep ini di 50 cawangan AmBank di seluruh negara.

Menurut perkongsian Bask Bear Coffee, pengenalan konsep kafe-di-bank ini adalah yang pertama di Malaysia. Dan kerjasama antara dua entiti ini dikatakan bertujuan untuk mewujudkan perbankan komuniti yang membolehkan pengunjung yang datang ke bank untuk menikmati hidangan kopi sebelum berurusan di kaunter bank

Sebelum ini, terdapat juga jenama lain yang turut memperkenalkan konsep seakan sama iaitu kedai-dalam-kedai seperti Café Mesra dan Zus Coffee di dalam Pos Malaysia dan juga Costa Coffee di dalam 99 Speedmart.

Setakat ini, tiga rangkaian ‘perbankan komuniti’ pertama ini telah dibuka dalam cawangan AmBank di Bandar Baru Bangi di Selangor, Sungai Dua di Pulau Pinang dan Lagenda Heights di Sungai Petani, Kedah yang mana dengan kedua-dua perniagaan ini berdagang secara bersebelahan.

Untuk meraikan pelancaran kafe dalam bank ini juga, AmBank dan Bask Bear Coffee hadir dengan promosi sebanyak RM5 setiap 9oz cawan Americano atau Latte panas untuk pembelian secara walk-in dengan kad kredit atau kad debit AmBank. Tawaran sah dari 9 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023.

Untuk pengetahuan anda, Bask Bear Coffee merupakan jenama kopi maya yang terkemuka dan boleh dikatakan antara yang pantas berkembang di Malaysia. Ia juga merupakan satu jenama baru yang diperkenalkan pada tahun 2019 di bawah payung Loob Holdings.

Kenapa ia dipanggil kedai kopi maya? Hal ini kerana, ia ditawarkan di sekitar lebih dari 70 lokasi maya di sekitar Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Penang, Johor dan Terengganu. Selain boleh diakses secara maya, kini Bask Bear Coffee mula memperluaskan penawaran mereka dengan memperkenalkan beberapa rangkaian fizikal di sekitar Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd