Berdasarkan perkongsian dari Financial Times, L’Oréal dilaporkan bersetuju untuk membeli kumpulan kosmetik mewah Australia, Aesop, dalam urus niaga dengan nilai perusahaan $2.5 bilion.
Menurut Natura & Co yang merupakan pemilik jenama Aesop yang juga mempunyai beberapa lagi jenama di bawahnya seperti The Body Shop dan Avon, mereka telah menandatangani perjanjian bersama L’Oréal pada 3 April 2023.
Bagi yang tidak mengetahui, Aesop merupakan jenama penjagaan diri yang merangkumi produk untuk kulit, badan dan rambut. Tidak hanya itu, jenama ini turut hadir dengan pilihan wangian dan aksesori yang juga boleh digunakan di ruang kegemaran di rumah ataupun pejabat anda.
Berbeza dengan produk penjagaan diri dan ruang di pasaran, Aesop memfokuskan kepada penawaran produk yang diperbuat daripada bahan berasaskan tumbuhan.
Nampaknya, dengan pemerolehan jenama Aesop, L’Oréal dilihat akan mula bergerak ke arah misi kelestarian yang kini giat diceburi oleh kebanyakan jenama kosmetik dunia.

Merujuk kepada perjanjian yang termeterai antara dua kumpulan kosmetik ini, L’Oréal selepas ini akan memainkan peranan dalam menyokong usaha jenama berkenaan meningkatkan margin keuntungan, menstabilkan aliran tunai selain turut menumpukan pada keutamaan strategiknya di Amerika Latin.
Setakat ini, L’Oréal tidak menyatakan apa-apa perubahan dari sudut jualan dan capaian produk kepada pengguna. Jadi, sekiranya anda pengguna produk Aesop, anda tidak perlu risau akan kesan dari segi operasi dan jualan produk selepas daripada urusan pemerolehan dua entiti ini.
Untuk pengetahuan anda, selain daripada L’Oréal, antara jenama lain yang turut menunjukkan minat untuk mendapatkan jenama berkenaan termasukl LVMH dan Clarins.