Pengambilan Gula Tambahan Boleh Meningkatkan Sekitar 45 Kesan Negatif Ke Atas Kesihatan
Lina Rosli
Dalam satu penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal The BMJ, penyelidik mendapati bahawa terdapat banyak kesan negatif disebabkan oleh pengambilan gula yang berlebihan terhadap kesihatan. Dan oleh yang demikian, pakar telah mencadangkan untuk mengehadkan penggunaan gula “percuma” atau tambahan kepada kurang daripada 10% daripada pengambilan kalori harian seseorang.
Kira-kira 45 kesan negatif ke atas kesihatan telah dikenalpasti dan dikaitkan dengan penggunaan gula tambahan termasuk diabetes, gout, obesiti, tekanan darah tinggi, serangan jantung, strok, kanser, asma, kerosakan gigi, kemurungan dan kematian awal.

Untuk pengetahuan anda, gula percuma atau gula tambahan ini kebiasaannya sering ditemui dalam makanan yang diproses. Ia tidak hanya boleh didapati dalam bentuk pemanis buatan, tetapi juga boleh hadir secara semula jadi seperti terdapat dalam sirap, madu, jus buah-buahan, jus sayuran, puri, pes dan produk yang serupa di mana struktur selular makanan telah dipecahkan.
Kategori ini tidak termasuk gula yang terdapat secara semula jadi dalam tenusu atau buah-buahan dan sayur-sayuran keseluruhan secara struktur.

Kaitan Antara Gula Dan Penyakit
Bukti hubungan antara gula tambahan dan kanser boleh dijelaskan melalui kesan pengambilan gula ke atas berat badan. Penggunaan gula yang tinggi telah dikaitkan dengan obesiti, yang merupakan faktor risiko yang kuat untuk pelbagai jenis kanser. Begitu juga dengan penyakit kardiovaskular.
Pengambilan gula tambahan juga boleh menggalakkan keradangan dalam badan, dan ini boleh menyebabkan tekanan pada jantung dan saluran darah dan sekaligus meningkatkan tekanan darah.
Makanan yang diproses tinggi juga mengandungi banyak gula bebas. Dan ianya didapati boleh meningkatkan keradangan dan menjadi antara faktor risiko kemurungan.