Di dalam dunia fesyen, antara jenis produk kulit yang menjadi pilihan ramai adalah kulit suede. Ini kerana kemasan akhir yang ditawarkan pada produk menampilkan ciri yang seakan premium disebabkan teksturnya yang lembut seperti baldu.
Kebiasaannya, pengeluar atau kebanyakan jenama akan menggunakan kulit jenis suede ni pada bahagian dalam untuk menyembunyikan asal haiwan. Namun, adakalanya, mereka turut menggunakan suede sebagai kulit utama pada bahagian luar sama ada kasut, beg tangan ataupun sofa.

Apabila bercakap mengenai hasil kemasannya yang lembut, pastinya apabila digunakan dengan kerap tanpa diuruskan secara baik, ia akan menurunkan kualiti kulit. Tidak dinafikan, walaupun kulit jenis suede boleh bertahan agak tahan lama, ia secara umumnya agak nipis dan lebih halus jika dibandingakan dengan kulit tradisional yang lain.
Jadinya, ia boleh dikatakan agak sensitif dan mudah terdedah kepada kekotoran seperti habuk, yang boleh menjejaskan tekstur suede dan menjadikannya kelihatan kotor. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui cara membersihkan suede dengan betul untuk mengelakkan kerosakan, dan memastikan barangan anda kelihatan baik seperti baharu.

5 Tips Penjagaan Kulit Suede – Untuk Kasut, Beg Tangan Dan Sofa
Berikut adalah beberapa amalan yang harus anda praktikkan sekiranya anda menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit suede:
- Elakkan daripada membiarkan kulit suede terdedah kepada air kerana secara umumnya air dan sabun boleh mendatangkan kemudaratan seperti tekstur menjadi keras dan tidak halus. Walau bagaimanapun, sekiranya hanya sekadar percikan air sahaja, ia tidaklah akan menjejaskan kondisi keseluruhan barangan anda.
- Periksa label penjagaan produk sebelum mula melakukan cucian. Ini bagi mengetahui panduan cucian yang bersesuaian untuk kulit suede. Sebagai contoh, anda boleh gunakan berus untuk membersihkan habuk dan kotoran pada kulit, atau anda juga boleh meletakkan serbuk talkum untuk membantu memudahkan pembersihan.
- Gunakan cuka untuk mencuci kotoran degil. Ini kerana kotoran yang telah kering harus dirawat secara berbeza daripada cecair. Gosok kotoran dengan kain lembut atau tuala bersih sedikit demi sedikit. Ulang langkah ini sehingga kotoran hilang.
- Gunakan sealant atau semburan pelindung. Lakukan sapuan nipis pada bahagian kulit suede. Ia biasaya boleh bertahan selama beberapa bulan dan akan menghentikan kotoran, cecair dan kesan lain sebelum ia bermula. Harus diingatkan, anda harus memberus kotoran sebelum dan selepas menyemburnya.
- Lakukan ujian spot sebelum melakukan apa-apa cucian. Anda harus sentiasa menguji sebarang penyelesaian pembersihan pada kawasan suede yang tidak terlalu kelihatan terlebih dahulu untuk memastikan ia tidak merosakkan kulit.