Pernahkah anda tertanya-tanya akan perbezaan antara rambut gugur, rambut menipis dan rambut rosak? Bagaimanakah cara untuk mengetahui sama ada anda menghadapi keguguran rambut atau rambut menipis? Adakah mereka memerlukan rawatan yang berbeza?

Secara umumnya, rambut gugur dan penipisan rambut khususnya sering digabungkan dalam kategori yang sama, tetapi sebenarnya terdapat perbezaan yang perlu anda ketahui antara kedua-duanya.

Perbezaan Antara Rambut Gugur, Rambut Menipis dan Rambut Rosak

Keguguran rambut mungkin adalah yang paling jelas iaitu apabila anda kehilangan rambut hingga ke akarnya. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa setiap orang mengalami tahap keguguran rambut yang sama sekali normal. Malah, kita juga akan kehilangan sehingga 100 helai rambut sehari.

Walau bagaimanapun, keguguran rambut boleh menjadi kebimbangan apabila ia berlaku secara ekstrem dan berlebihan.

Sebaliknya, penipisan rambut adalah apabila ketumpatan rambut menjadi lebih nipis dan lebih rapuh, dan seterusnya gugur dengan lebih cepat.

Untuk pengetahuan anda, penipisan rambut adalah pengurangan yang berlaku berpanjangan dalam ketumpatan jumlah keseluruhan rambut. Ia biasanya diikuti oleh garis rambut yang semakin berkurang pada bahagian kepala. Penipisan rambut berlaku secara semula jadi dengan usia tua, jadi ia agak sukar untuk dielakkan.

Manakala kerosakan rambut pula berbeza dengan keguguran rambut dan penipisan rambut terutamanya kerana ia tidak berlaku pada akar rambut.

Walaupun keguguran rambut dan penipisan rambut adalah isu yang berkaitan ketiadaan rambut tumbuh dari kulit kepala dan folikel rambut, rambut rosak juga adalah keadaan yang mana berlaku kerosakan pada batang rambut di bawah permukaan kulit kepala. Ia boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk:

  • kecacatan pada batang rambut itu sendiri
  • rawatan kimia
  • penarikan berlebihan
  • masalah penggayaan.

Oleh kerana kerosakan rambut adalah yang paling mudah untuk diselesaikan, jadi individu disarankan untuk bermula dari penambahbaikan keadaan dan kekuatan rambut. Rambut yang rosak lebih cenderung menjadi rapuh dan tercabut, jadi adalah penting untuk anda mendapatkan perlindungan tambahan melalui perapi dan pelindung haba yang baik.

Pakar juga mengesyorkan rawatan minyak kelapa yang lebih intensif setiap minggu untuk membantu keutuhan rambut. Jika kerosakan rambut anda lebih teruk akibat pelunturan atau dye, rawatan kimia keratin antara langkah yang boleh membantu.

Apa Yang Penting Untuk Mengatasi Masalah Rambut?

Cara menangani masalah keguguran rambut dan penipisan rambut, bukanlah dengan mendapatkan rawatan yang berbeza untuk setiap satu tetapi ia lebih banyak tentang mencari punca asas berlakunya masalah sedemikian.

Malah, keguguran dan penipisan rambut boleh disebabkan oleh sebab asas yang sama, sama ada genetik, pemakanan, atau keradangan. Setiap satu memerlukan rawatan yang berbeza, dan dalam banyak kes, orang mungkin mempunyai dua atau tiga punca asas yang berbeza.

Keguguran rambut juga sering berlaku disebabkan oleh perubahan gaya hidup seperti:

  • gangguan hormon
  • penggunaan ubat baru
  • peningkatan tekanan

Kajian telah menunjukkan bahawa rawatan minyak panas atau urut kulit kepala yang cepat dengan minyak boleh menggalakkan pertumbuhan dan ketebalan rambut dengan merangsang dan menembusi folikel rambut secara mekanikal. Pakar mengesyorkan minyak kastor, yang mempunyai konsistensi yang mampu menembusi hingga ke dalam folikel rambut, atau minyak teh hijau, yang mengandungi katekin yang membantu mengurangkan dihidrotestosteron (DTH).

Jika masalah rambut ini berlaku disebabkan oleh faktor genetik, anda boleh menggunakan bahan seperti niasin, saw palmetto, vitamin D, ekstrak biji asam jawa, ekstrak lemon balm, oren dan minyak lavender untuk menebalkan semula rambut.