Sebanyak 30,926 Kes Denggi Telah Dicatatkan Sepanjang Januari Hingga 9 April 2023

April 14, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Sebelum ini, KKM telah melaporkan bahawa kes kumulatif jangkitan denggi pada tahun 2022 telah meningkat lebih 150% berbanding tahun sebelumnya dan jumlah kematian akibat denggi pula meningkat sehingga 180%.

Dan kini sebanyak 30,926 kes denggi telah dicatatkan berlaku di seluruh negara. Bukan itu sahaja, jumlah kematian akibat denggi juga yang telah direkodkan dan ia menunjukkan sebanyak 20 kes kematian dalam tempoh kurang dari 4 bulan.

Berdasarkan statistik ini, ia menunjukkan yang mana masih ramai lagi individu yang masih belum cakna akan kepentingan perlindungan diri daripada denggi lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Tidak seperti kes jangkitan yang lain, kes denggi ini tidak mempunyai penawar yang spesifik. Oleh yang demikian, individu seharusnya perlu sentiasa prihatin akan kemudaratan demam denggi sekaligus memainkan peranan yang penting dalam memastikan tempat tinggal selamat dan selesa untuk didiami.

Dianggarkan 1% pesakit akan mengalami demam denggi teruk dikenali sebagai demam denggi berdarah yang memerlukan kemasukan ke hospital. Pendarahan boleh bermula di fasa demam, lazimnya dalam kulit dan gusi.

Jika tidak diuruskan dengan betul, keadaan pesakit akan bertambah buruk semasa fasa kritikal dan rata-ratanya akan mula memerlukan bantuan hospital untuk rawatan susulan.

Bukan itu sahaja, ada juga dalam kalangan individu yang masih terpedaya dan tersalah anggap dengan maklumat separuh benar sehinggakan boleh membawa kepada kemudaratan berbanding kebaikan kerana ia mewujudkan perasaan selamat yang palsu. Ini menjadikan orang ramai terdedah kepada ancaman demam denggi yang sebenar.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah menjalankan kaedah-kaedah pengujian baharu seperti penggunaan nyamuk yang diubahsuai genetiknya di lokasi hotspot. Selain itu, mereka juga mungkin bakal hadir dengan vaksin yang berupaya melindungi diri daripada demam denggi.

Namun begitu, itu bukan bermakna kita harus leka. Secara peribadi, ia bukan sekadar tugas satu entiti sahaja. Adalah penting untuk semua individu mula bertindak dalam lingkungan rumah sendiri untuk mencegah pembiakan dan gigitan nyamuk.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd