Tahukah Anda, Gunung Berapi Paling Aktif Di Dunia Terletak Di Hawaii? Dikenali Sebagai Kīlauea
Lina Rosli
Kīlauea ialah gunung berapi paling aktif di dunia yang mana ia telah meletus secara berterusan sejak tahun 1983 dan hanya berhenti meletus seketika selama 18 tahun pada tahun antara 1934 hingga 1952.
Bagi yang tidak mengetahui, Kīlauea terletak di tenggara Hawaii yang juga antara gunung berapi paling berbahaya di Bumi. Berdasarkan perkongsian Britannica, kali terakhir gunung berapi ini meletus pada September 2021. Kīlauea dianggarkan telah menyebabkan kira-kira 400 kematian secara keseluruhan.

Secara fizikalnya, Kīlauea kelihatan seperti kubah panjang yang terdiri daripada letusan lava dari kawah tengah dan dari garisan kawah yang memanjang di sepanjang celah timur dan barat daya. Dan faktor yang menjadikan Kīlauea ini masih lagi aktif dan berbahaya adalah berpunca daripada pergerakan lahar di dalam gunung berapi itu sendiri.

Selain itu, di Kīlauea juga mempunyai magma kurang tebal dan padat dan ini sekaligus mengakibatkan tekanannya agak rendah. Bukan itu sahaja, peratusan kristal kecil dalam magma juga adalah rendah iaitu kurang daripada 5 peratus kandungan magma.
Oleh yang demikian, apabila batu bergerak dan beralih di kawah, ia akan mengakibatkan lebih banyak lava yang dimuntahkan keluar dari kawasan gunung berapi disebabkan oleh keadaan gunung berapi yang tidak stabil.
Sepanjang gunung berapi ini aktif, ia telah mengeluarkan lava pada kadar 5 m³ (7 yd³ atau 176 kaki³) sesaat. Manakala, puncak gunung berapi 4,090 kaki (1,250 meter) telah runtuh dan membentuk kawah gunung berapi yang mempunyai lekukan cetek yang luas sekitar lebih daripada 10 km persegi.

Dan di kawah itu lah ia berlakunya letusan gunung berapi. Kawah di Kílaeua dipanggil Halema’uma’u, nama Polinesia yang bermaksud “rumah pakis.”
Terkini, letusan terbaharu Kīlauea berlaku antara 5 Januari 2023 dan 7 Mac 2023 dan telah meledakkan lava setinggi 164 kaki ke udara.
Walau bagaimanapun, pada 21 April 2023, Kīlauea tidak lagi meletus. Namun lahar dan cahaya yang kelihatan pada gunung berapi itu boleh dilihat pada waktu malam pada sebarang keadaan persekitaran.