Carian
Kesedaran Terhadap Pendermaan & Pemindahan Organ Masih Rendah – Pesakit Perlu Menunggu Hampir 13 Tahun Untuk Pembedahan
April 28, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa pemindahan buah pinggang yang pertama berjaya dilakukan adalah pada tahun 1954? Sejak itu, banyak pemindahan telah berjaya dilakukan dan permintaan terus meningkat tahun demi tahun seiring dengan kemajuan perubatan dalam rawatan penolakan serta pencegahan.

Dan kini, kira-kira 48,000 pesakit di Malaysia sedang menjalani dialisis serta menunggu giliran pemindahan buah pinggang mereka. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kadar pendermaan yang rendah, ia sekaligus menyebabkan setiap pesakit perlu menunggu sehingga 13 tahun sebelum berpeluang menjalani pembedahan.

Bagi menangani isu ini juga, satu sistem pemarkahan telah diwujudkan dan dengan sistem ini, sekitar 10,000 pesakit layak menerima buah pinggang daripada penderma yang telah meninggal dunia.

Adakah Anda Orang Yang Sesuai Untuk Menderma Organ?

Pernahkah anda berniat atau terfikir untuk mendermakan organ anda kepada yang memerlukan? Jika ya, tahukah anda bahawa pendermaan organ boleh dilakukan semasa bernyawa atau tidak bernyawa.

Bercerita mengenai pendermaan organ, di Malaysia terdapat dua kategori penderma organ iaitu Penderma Hidup dan Penderma Kadaverik.

Siapa dia penderma hidup? Untuk pengetahuan anda, penderma hidup adalah individu yang telah bersetuju untuk mendermakan hanya satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja yang mana pemindahan organ ini akan dilakukan semasa individu tersebut masih hidup.

Terdapat dua jenis pendermaan yang akan dilakukan oleh Penderma Hidup iaitu:

  • Pendermaan ada pertalian saudara (Living Related)
  • Pendermaan tiada talian saudara (non-living Related)

Manakala penderma Kadeverik adalah penderma yang telah meninggal dunia yang juga biasa dibuka kepada orang ramai yang ingin menderma anggota dari tubuh badan mereka.

Berikut adalah beberapa kategori Penderma Kadaverik:

  • Kematian otak yang mana hospital atau pakar hanya boleh mengambil organ dan tisu seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal), mata (kornea), tulang dan kulit
  • Kematian selepas jantung berhenti berdegup yang mana organ yang boleh didermakan adalah mata (kornea), injap jantung, tulang dan kulit.

Mengapa Kesedaran Dan Keberanian Menderma Organ Dalam Kalangan Individu Masih Rendah?

Sudah bertahun-tahun panggilan permintaan untuk menderma buah pinggang dibuat oleh pakar perubatan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan sebagai rayuan untuk memperoleh sokongan daripada orang ramai.

Jumlah dan kerumitan kes kegagalan buah pinggang peringkat akhir pula semakin meningkat. Menurut Dr Mohamad Zaimi Abdul Wahab, Pakar Nefrologi dan Pemindahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan Naib Presiden bagi Malaysian Society of Transplantation, statistik semasa bagi pendermaan dan pemindahan organ menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Namun begitu, statistik tersebut mampu mencapai kadar yang lebih tinggi jika lebih ramai orang menyokong dan memperjuangkan perkara ini.

Sejak tahun 2020 sehingga kini, peningkatan kadar pemindahan organ sebanyak 2% telah ditunjukkan. Ia merangkumi 27 pembedahan dan pemindahan organ daripada 16 penderma yang meninggal dunia pada tahun tersebut.

Sebelum ini, terdapat beberapa usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan bersama pihak terlibat termasuk National Transplant Resource Center (NTRC). Antaranya termasuklah:

  • Penstrukturan semula pasukan Perolehan Transplan Organ (TOP) menjadi “Unit Perolehan Organ Hospital” atau UPOH.
  • Perlaksanaan program Organ Donation Initiatives in South East Asia (ODiSSEA) untuk pada tahun 2018 bagi memperkasakan pendidikan sebagai kunci kesedaran terhadap keperluan pendermaan dan pemindahan organ. Ia merupakan sebuah program hasil kerjasama antara Donation and Transplantation Institute, Barcelona, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), serta UiTM.

Kerajaan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam menangani isu pemindahan buah pinggang, kebajikan para pesakit serta sokongan yang berterusan terhadap usaha NTRC. Usaha kini dilakukan untuk meluluskan undang-undang baharu berkaitan pemindahan organ terutamanya dalam usaha mengawal serta mengelakkan aktiviti pemerdagangan organ yang dilihat sebagai ancaman di peringkat global.

Pada tahun 2019, Persatuan Transplantasi Malaysia juga diberikan geran berjumlah RM150,000 oleh Kementerian Kesihatan untuk membantu pesakit dalam proses pemindahan organ mereka. Walau bagaimanapun, keperluan bantuan kewangan serta harapan bagi para pesakit semakin meningkat tahun demi tahun disebabkan oleh keadaan perkara ini yang membimbangkan.

Apakah Manfaat Sebagai Penderma Organ?

Penderma sering bertanya manfaat yang mereka akan peroleh dari segi kesihatan. Namun menurut NTRC, belum ada lagi manfaat kesihatan daripada pendermaan organ selain kepuasan diri kerana berani mengambil tindakan altruistik demi yang tersayang, atau sesiapa sahaja penerima yang memerlukan. 

Walau bagaimanapun, manfaat lain dari sudut jangka panjang boleh dilihat yang penderma dapat mengetahui kecenderungannya terhadap penyakit itu atau apa-apa penyakit yang belum didiagnosis semasa proses menjadi penderma yang berpotensi.

Penderma juga mempunyai manfaat untuk menerima diagnosis dan pengurusan lebih awal bergantung pada kes mereka jika didapati mempunyai sesuatu yang perlu dibimbangkan. 

Komen