Tahukah anda bahawa kadar hipertensi di Malaysia adalah sangat tinggi di mana 3 daripada 10 orang dewasa terjejas oleh situasi yang kronik ini?
Sayang sekali, biarpun keadaan ini semakin meluas, ramai yang tidak begitu mengambil serius mengenainya, malah kira-kira separuh daripada mereka tidak menyedarinya kerana hipertensi tidak dikaitkan dengan sebarang gejala yang ketara.
Untuk pengetahuan anda juga, hipertensi atau tekanan darah tinggi dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana kebanyakan orang berasa sihat walaupun menghidapinya.
Walau bagaimanapun, menurut Profesor Madya Dr Verna Lee Kar Mun, Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), sikap tidak mengendahkannya boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok dan kegagalan organ dalam badan. Sebaik sahaja munculnya tanda-tanda amaran seperti:
- penglihatan yang kabur
- pening
- sakit dada
- kesukaran untuk bernafas
Faktor-faktor risiko termasuklah sejarah keluarga yang menghidapi hipertensi, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan diet tidak sihat yang mengandungi kandungan garam yang tinggi. Sekiranya kesemua faktor itu berkaitan dengan anda, berkemungkinan besar anda berisiko untuk mendapat hipertensi.

Bagaimana Anda Boleh Mengurangkan Risiko Komplikasi Akibat Hipertensi?
Berikut adalah tiga perkara yang perlu anda lakukan untuk memastikan tekanan darah (BP) anda dalam julat normal, sekaligus mengurangkan risiko anda untuk mendapat komplikasi.
Kerap Memeriksa Tekanan Darah Tinggi
Jangan takut untuk memeriksa tekanan darah anda. Anda sebenarnya perlu memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali walaupun anda sihat. Bagi memudahkan urusan, dapatkan pemeriksaan tekanan darah setiap kali anda berjumpa doktor semasa mendapatkan konsultasi apabila batuk atau selesema.
Walaupun tekanan darah lazimnya akan sedikit naik semasa anda tidak sihat, ia sepatutnya tidak akan melepasi 140/90. Hanya bacaan yang melebihi 140/90 secara konsisten walaupun tiada penyakit akan didiagnosis sebagai menghidap hipertensi.
Sebab itulah penting untuk memeriksa tekanan darah dengan kerap, sama ada di rumah atau di klinik supaya anda dan doktor anda tahu apakah tekanan darah normal anda.
Bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap hipertensi, mereka lebih berisiko tinggi untuk menghidapinya dan perlu lebih kerap mendapatkan pemeriksaan supaya tekanan darah tinggi dapat diteliti oleh doktor. Kekerapan pemeriksaan juga dapat mengesan hipertensi lebih awal, di mana perubahan gaya hidup dan rawatan berkemungkinan lebih berkesan.
Sementara itu, orang yang sudah pun didiagnosis menghidap hipertensi, perlulah mempunyai alat untuk memantau tekanan darah di rumah. Berbincanglah dengan doktor anda mengenai kekerapan pemeriksaan tekanan darah yang perlu anda lakukan supaya doktor dapat menyemak dan memerhati jika keadaan anda diurus dengan baik.

Teliti Aktiviti Yang Boleh Menaikkan Tekanan Darah Tinggi Anda
Hipertensi, iaitu tekanan yang meningkat, terjadi apabila saluran darah makin sempit yang mana meningkatkan daya tahan. Apabila ini berlaku, ia memaksa jantung bekerja lebih keras untuk meningkatkan jumlah dan mengekalkan aliran darah yang mencukupi ke semua organ-organ utama.
Banyak penyebab faktor ini berlaku, antaranya pengambilan garam yang tinggi, obesiti dan gaya hidup yang tidak aktif. Walaupun kebanyakan orang menyedari yang mereka perlu mengurangkan pengambilan garam, bersenam dan mengekalkan berat badan sihat, terdapat juga perkara lain yang tidak diketahui menjadi penyumbang kepada tekanan darah tinggi.
Antaranya ialah hipertensi sekunder yang disebabkan oleh keadaan kesihatan lain seperti apnea tidur okstruktif (OSA) yang lazimnya dialami orang yang obes. OSA menyebabkan pesakit berhenti bernafas beberapa ketika yang membawa kepada hipoksia atau kekurangan oksigen dalam otak. Ini mencetuskan banyak tindak balas kepada badan yang mana salah satunya adalah penyempitan saluran darah. Lama-kelamaan, keadaan ini akan membawa kepada hipertensi sekunder.
Satu lagi penyebab hipertensi sekunder adalah masalah tiroid dan penyakit buah pinggang kronik, seperti radang buah pinggang. Tiroid menghasilkan hormon-hormon yang membantu mengawal banyak fungsi dalam badan, termasuklah emosi kita, tahap kecergasan, selera makan, tidur dan kadar denyutan jantung serta tekanan darah.
Selain itu, terdapat beberapa perkara lain yang mendorong kepada peningkatan tekanan darah tinggi seperti:
- Ubat-ubatan tertentu, seperti ubat pelega (dekongestan), yang berfungsi menyempitkan saluran darah, dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), yang membawa kepada pengekalan garam dan air dalam badan, yang mana masing-masing meningkatkan tekanan darah. Walaupun pengambilan jangka pendek ubat-ubatan ini dianggap selamat, ia lebih baik diambil mengikut nasihat doktor.
- Tabiat pemakanan. Garam adalah punca utama hipertensi. Kebanyakan daripada kita tahu kicap dan kuah dalam makanan mengandungi natrium yang tinggi. Tetapi, adakalanya makanan yang tidak begitu masin pun boleh tinggi kandungan natrium. Berita baiknya, apabila kita makan makanan yang secara semulajadinya tinggi kandungan potasium seperti pisang, kekacang dan buah-buahan sitrus, ia dapat membantu kerana mineral tersebut dapat mengawal tahap tekanan darah.

Berbincang Dengan Doktor Cara Mengurus Tekanan Darah Tinggi Anda
Kadang-kadang, pesakit tidak betul-betul berlaku jujur dengan doktor dan ada yang keberatan untuk memaklumkan suplemen herba tertentu atau ubat tradisional Cina yang mereka ambil. Sementara yang lain pula, takut untuk mengakui yang mereka sudah berhenti makan ubat yang ditetapkan.
Namun begitu, untuk memastikan solusi yang diberikan bersesuaian dengan anda, setiap individu perlu bersikap terbuka tentang kesihatan keseluruhan anda, sejarah hipertensi dalam keluarga dan tabiat gaya hidup akan membantu doktor anda membantu anda.
Sebagai contoh, situasi seperti kebimbangan atau kemurungan yang boleh menjejaskan emosi seseorang sehingga membuatkan tekanan darah naik atau menjadikan hipertensi lebih sukar dikawal. Walaupun dua situasi tersebut tidak menyebabkan hipertensi, adalah penting untuk mendapatkan rawatan untuknya juga.
Doktor anda boleh membantu untuk menetapkan sasaran yang boleh diukur dengan menggunakan bacaan tekanan darah, selain membantu merancang pelan pengurusan berat badan anda. Kedua-dua perkara tersebut dapat menyokong keberkesanan ubat-ubatan yang ditetapkan untuk anda.