Carian
MUJI Malaysia Kini Buka Kaunter Kopi Pertama Di 1 Utama – Harga Kopi Bermula RM7.90
May 23, 2023 Lina Rosli

Sebelum ini, MUJI telah memperkenalkan Café&Meal MUJI untuk pasaran Singapura. Kini, nampaknya jenama gaya hidup Jepun ini telahpun memperluaskan penawaran mereka yang mana mereka dilihat tidak hanya hadir dengan produk kelengkapan diri, kelengkapan rumah dan juga snek ringan tetapi turut menawarkan juga servis kafe yang boleh ditemui di beberapa lokasi terpilih.

Mula dibuka di pusat membeli-belah 1 Utama, kaunter kopi MUJI yang pertama di Malaysia ini hadir dengan menu dan hidangan yang memfokuskan kepada hidangan di kafe seperti minuman kopi, kek, pastri dan lain-lain.

Menerusi perkongsian yang dilakukan di laman Facebook rasmi MUJI Malaysia, hidangan yang ditawarkan di kaunter kopi MUJI hadir dengan senarai harga yang berpatutan.

Ini termasuk pastri Ham & Cheese Danish ditawarkan pada harga RM14, Pain Au Choc pula pada harga RM11 dan French Butter Croissant berharga RM9 sahaja. Manakala untuk minuman, kopi kegemaran anda boleh didapati pada harga bermula RM7.90.

Untuk anda yang ingin ke kafe MUJI atau kaunter kopi MUJI di 1 Utama ini, ia kini terletak di Level G dan F (Aras Tanah dan Satu) di lot G135 dan F136.

Setakat ini, kaunter kopi MUJI hanya dibuka di satu lokasi sahaja di Malaysia dan dijangka akan diperluaskan ke beberapa tempat lain dalam masa yang terdekat.

Komen