Penjagaan kesihatan semestinya bermula bukan sewaktu masalah kesihatan telah berlaku, tetapi ia seharusnya dicegah sejak dari awal lagi. Ini kerana, lebih awal anda mengetahui simptom dan gejala risiko sesuatu penyakit, langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Dan antara penyakit yang sering dipandang remeh individu adalah lipedema. Satu keadaan yang kebiasaannya memberi kesan kepada wanita. Ia dicirikan oleh bengkak simetri di kaki, paha dan punggung dan kadang-kadang lengan. Lipedema jarang berlaku pada lelaki.
Apa Itu Lipedema?
Lipedema adalah keadaan kronik yang mengakibatkan pengumpulan lemak di sesuatu kawasan badan. Apabial tidak diuruskan dengan baik, ia akhirnya akan mengakibatkan pengagihan lemak yang tidak seimbang.
Lipedema boleh menjadi sangat menyakitkan. Kawasan yang terjejas boleh menjadi lembut dan terdapat kecenderungan umum untuk mudah lebam. Lama kelamaan, lipedema boleh mengakibatkan pengekalan cecair di bahagian yang terjejas, mengakibatkan keadaan perubatan yang dipanggil limfoedema.
Apa pula yang dimaksudkan dengan limfoedema? Limfoedema (lymphedema) adalah kesan sampingan yang berlaku selepas pembedahan kanser payudara dan terapi sinaran yang boleh muncul pada sesetengah orang sama ada beberapa bulan atau tahun selepas rawatan berakhir.
Limfa (lymph) adalah cecair jernih dan cerah yang mengelilingi seluruh tubuh untuk membuang buangan, bakteria, dan bahan lain dari tisu. Manakala edema adalah pembentukan cecair berlebihan. Jadi limfoedema berlaku apabila terlalu banyak limfa berkumpul di mana-mana bahagian tubuh.
Menurut pakar, penyakit lipedema ini mungkin boleh disebabkan oleh keadaan genetik, kerana dalam beberapa kes terdapat sejarah keluarga keadaan tersebut.
Ketahui Peringkat Dan Jenis Lipedema
Oleh kerana lipedema adalah keadaan yang mungkin berkembang dari masa ke masa, doktor dan pakar dermatologi mungkin mengklasifikasikan penyakit dalam peringkat yang berbeza bergantung pada perkembangannya.
Secara amnya, terdapat 4 peringkat lipedema, mari kita ketahui:
- Peringkat 1: Kulit pesakit mungkin kelihatan normal dan licin untuk disentuh. Walau bagaimanapun, kulit akan mempunyai nodul lemak yang membesar di bawah kulit yang boleh dirasai oleh pakar dermatologi semasa pemeriksaan. Seseorang yang mengalami lipedema tahap 1 mungkin mengalami sedikit kesakitan dan mudah lebam semasa kecederaan.
- Peringkat 2: Kulit pesakit sering kelihatan tidak sekata dan kulit mungkin mengalami lekukan dan membentuk corak seperti tilam. Jumlah lemak juga lebih tinggi pada peringkat 2 berbanding peringkat 1.
- Peringkat 3: Keadaan lemak pada kulit semakin membesar. Ini boleh dilihat, lipatan besar kulit dan lemak boleh dilihat menonjol pada anggota badan yang disebabkan oleh keradangan dan penebalan tisu pada anggota badan. Akibatnya boleh menyebabkan kaki kelihatan kolumnar. Selepas itu, ini menyebabkan kehilangan keanjalan dan akhirnya aliran darah dan limfa yang berkurangan keluar dari tisu lemak, merangsangnya untuk membesar dengan lebih banyak lagi. Oleh itu, pergerakan dan keseimbangan pesakit mungkin terjejas kerana tonjolan lemak ini boleh memberi tekanan pada sendi pesakit.
- Peringkat 4: Peringkat ini adalah apabila lipedema dan limfoedema kedua-duanya terdapat di dalam badan. Limfoedema digambarkan sebagai pengumpulan cecair dalam tisu badan daripada sistem limfa yang rosak dan ia sering berkembang apabila lipedema menyebabkan pembentukan sel lemak sehingga mengganggu sistem limfa pesakit.
Tidak seperti mereka yang menghidap lipedema, orang yang mempunyai limfoedema akan menyedari bahawa kaki atau tangan mereka juga terjejas dan tahap pembengkakan tidak sama. Biasanya satu anggota lebih bengkak daripada yang lain.
Berikut adalah jenis-jenis lipedema:
- Jenis I: Lemak berada di antara pusat dan pinggul. Ia sering menutup pelvis dan punggung.
- Jenis II: Lemak bermula di pelvis dan terus turun ke lutut.
- Jenis III: Lemak bermula di pelvis dan terus turun ke buku lali.
- Jenis IV: Lemak merebak dari bahu turun ke pergelangan tangan.
- Jenis V: Lemak kebanyakannya pada betis.
Walaupun jarang berlaku, dilaporkan bahawa sesetengah mungkin mempunyai gabungan jenis, lebih kerap Jenis II dan IV atau Jenis III dan IV digabungkan.
Bagaimanakah Lipedema Boleh Berlaku Ke Atas Individu?
Punca lipedema masih tidak diketahui tetapi ia dikaitkan secara meluas kepada punca genetik dan perubahan hormon.
Ia biasanya bermula atau bertambah teruk apabila terdapat ahli keluarga yang menghidapnya atau apabila terdapat perubahan dalam tahap hormon anda seperti semasa:
- akil baligh
- kehamilan
- menopaus
- kesan pil kontraseptif hormon
Walaupun keadaan ini mungkin kelihatan lebih jelas pada pesakit yang mempunyai berat badan yang lebih berat, lipedema bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit yang berlebihan berat badan atau obes dan masih boleh menjejaskan wanita yang mempunyai berat badan yang sihat.
Oleh itu, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa lipedema tidak sama dengan obesiti begitu juga obesiti mempunyai kaitan langsung dengan lipedema.
Sumber: DOC2US – Understanding Lipedema