Spritzer baru-baru ini telah bekerjasama dengan TudungPeople, merupakan salah satu jenama tudung tempatan yang popular untuk menghasilkan selendang edisi terhad yang diperbuat daripada botol plastik dikitar semula.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kelestarian syarikat Spritzer dalam mengurangkan kesan karbon kepada alam sekitar.
Untuk pengetahuan anda, TudungPeople, yang mempunyai lebih daripada 100 reka bentuk dan cetakan, akan menggunakan lapan botol plastik dikitar semula bagi satu selendang dengan inspirasi reka bentuk daripada botol ICON Spritzer. Koleksi Edisi Terhad Hutan Hujan ini sudah tersedia sejak 24 Mei 2023 yang lepas.
Selendang dan scrunchie (pengikat rambut) edisi terhad tersebut menggambarkan imej indah flora hutan hujan dengan warna biru firus (turquoise) sebagai latar belakangnya. TudungPeople memilih motif bunga orkid, paku-pakis dan monstera sebagai corak yang akan menghiasi selendang dan scrunchie berkenaan.
Menurut TudungPeople, mereka hadir dengan selendang yang menawarkan keseimbangan berat, selain menyokong bentuk selendang dan menepati wajah pemakainya. Malah, setiap selendang juga datang dengan rekaan beg saku boleh diguna semula yang sepadan bagi menyimpan selendang unik anda.
Spritzer sedang berusaha menuju masa depan yang lestari selain mempergiatkan inisiatif dan perkongsian yang memberikan impak positif kepada alam sekitar. Spritzer yang terkenal dengan air mineralnya yang kaya dengan silika juga mendorong kesedaran tentang kepentingan air bersih dalam kehidupan seharian dan bagaimana persekitaran yang bersih adalah penting kepada sumber air.
Selendang buatan TudungPeople x Spritzer yang cantik ini dijual pada harga RM179, scrunchie comel pada harga RM25 atau set pada harga RM184. Produk diatas boleh dibeli di laman rasmi TudungPeople ataupun anda juga boleh mendapatkannya di kedai atas-talian Spritzer bermula hari ini.