Tahukah anda, jenama Gigi Coffee pertama kali diperkenalkan di Malaysia adalah pada tahun 2019 yang mana cawangan pertamanya dibuka di Pavilion Kuala Lumpur.

Kemudian, pada tahun yang sama, ia mula memperluaskan penawaran produk mereka dengan cara menambah bilangan cawangan kedua, ketiga dan keempat di Mid Valley, Top Glove dan seterusnya di KL Gateway.

Menjadi antara jenama kedai kopi yang pesat berkembang, Gigi Coffee tidak hanya fokus kepada penawaran di pasaran Malaysia, tetapi turut melebarkan sayapnya dengan membuka kedai pertama mereka di Korea pada tahun 2021 di Samsung Coex. Dan di Korea Selatan sahaja, jenama Gigi Coffee kini telah mempunyai sekitar 5 cawangan di beberapa kawasan popular termasuk di Jeon Ju Ajung dan Jamsil Lotte Tower.

Bukan sekadar kedai kopi biasa, terdapat beberapa lagi penawaran menarik daripada jenama ini seperti:

  • Pembukaan Gigi Coffee Home Barista pada bulan November 2022. Ia merupakan kedai mercu Gigi Coffee yang menawarkan sejumlah pengalaman kopi yang menarik seperti bilik khas yang membolehkan anda menilai rasa kopi, memperlihatkan stesen roastery dan pelbagai lagi yang lain.
  • Hadir dengan konsep kedai kopi ekspres menerusi pengenalan Gigi Coffee Super (20) yang menyajikan 20 menu kegemaran popular para peminat kopi.
  • Gigi Coffee Diner pula adalah restoran mereka yang menyajikan kopi, pastri dan hidangan ringan yang lazat. Menu di Gigi Coffee Diner adalah lebih banyak berbanding yang kedai konsep lain yang mana ia turut memperlihatkan menu istimewa seperti Gigi Affogato dan Gigi White Chocolate Mocha. Penawaran terbaru dari Gigi Coffee yang mana ia telahpun dibuka kepada umum sejak 15 Mei 2023 lepas.

Dan kini, setelah menghampiri tempoh 4 tahun di dalam industri F&B, Gigi Coffee telah menandakan kejayaannya yang mana mereka sudah mempunyai lebih daripada 100 cawangan di seluruh Malaysia.

Berdasarkan perkongsian di laman rasmi Gigi Coffee, jenama kedai kopi tempatan ini nampaknya sudah membuka kira-kira 116 buah cawangan yang terletak di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak.

Menurut Gigi Coffee, bergerak ke hadapan, mereka akan terus komited dalam menawarkan hidangan kopi yang berkualiti tinggi menggunakan 100% biji kopi Arabica yang baru dipanggang dan baru dikisar dari Sumatera, Indonesia dan juga Columbia.

Selain itu, Gigi Coffee turut tidak akan ketinggalan dalam kmenawarkan ruang inspirasi yang menyajikan kopi berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.