Menopaus adalah satu fasa dalam kehidupan yang diselubungi misteri, terutama di kalangan wanita muda yang selalunya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan atau apa yang perlu dilakukan apabila fenomena semulajadi ini berlaku.

Apabila bercakap mengenai perkara ini, adalah penting untuk individu mengetahui lebih awal akan tentang menopaus supaya mereka lebih bersedia dan kurang bimbang mengenainya sekiranya ia berlaku pada diri.

Untuk pengetahuan anda, menopaus merupakan satu fasa yang setiap wanita pasti akan mengalaminya. Maka, setiap individu sepatutnya memasuki fasa kehidupan ini dengan lebih berpengetahuan.

Hakikat Menopaus & Perimenopaus

Serba sedikit mengenai asas menopaus, ia cenderung berlaku apabila ovari wanita berhenti menghasilkan telur dan putus haid. Dari segi perubatan, menopaus disahkan apabila wanita itu tidak datang haid selepas satu tahun.

Secara amnya, menopaus sering berlaku ketika wanita berada pada antara usia 45 dan 55 tahun. Purata usia menopaus global ialah 51.4 tahun, dengan 5% wanita mengalami menopaus awal di antara usia 40 and 45 tahun.

Sebelum menopaus berlaku, wanita akan melalui satu peringkat yang dinamakan perimenopaus, yang lazimnya berlangsung selama 4 ke 5 tahun. Pada masa ini, adalah normal bagi wanita mengalami haid yang tidak teratur yang mungkin termasuk pendarahan yang lebih banyak, dan ini termasuklah kitaran haid yang jarang atau melangkau.

Perimenopaus berlaku disebabkan perubahan dalam sistem endokrin wanita yang membawa kepada penurunan paras estrogen, dan ini selalunya disertai rasa hangat panas (hot flash) dan kemerah-merahan pada kulit, emosi yang berubah-ubah, sukar tidur dan kekeringan faraj.

Selain itu, ia turut menyebabkan wanita menjadi pelupa, kurang bertenaga dan penurunan libido yang apabila bersekali dengan kekeringan faraj, boleh membawa kepada kurang berminat kepada seks dan hubungan intim.  Apabila menopaus berlaku, gejala-gejala tersebut menjadi lebih teruk dan boleh berlarutan selama 5 tahun lagi. 

Mengenainya lagi, keseluruhan proses itu boleh mengambil masa kira-kira 10 tahun dan ia satu tempoh yang lama untuk wanita menangani gejala-gejalanya, jika ia mengganggu kehidupan harian.

Sebagai contoh, kira-kira 80% wanita mengalami rasa hangat panas, yang jauh lebih serius daripada rasa panas melebihi daripada biasa. Rasa hangat panas ini boleh menjadi teruk, dengan gelombang haba yang kuat terutamanya pada waktu malam.

Tidur akan terganggu dan menyebabkan kerengsaan atau kesukaran menumpukan perhatian. Menurut pakar, isu ini boleh ditangani dengan terapi hormon, tetapi hanya 30% yang benar-benar pergi mendapatkan rawatan. Sama ada mereka tidak tahu wujudnya rawatan itu, atau mereka lebih sukakan remedi semulajadi di rumah.

Dapatkan Bantuan untuk Menguruskan Gejala

Biarpun beberapa remedi semulajadi seperti herba cohosh hitam dan tumbuhan evening primrose sudah dikaji keberkesanannya dalam melegakan gejala perimenopaus dan menopaus, keputusannya masih lagi belum muktamad.

Namun begitu, perubatan Cina (CM) mungkin dapat membantu. Keberkesanan CM dapat dilihat dalam tiga kitaran rawatan, walaupun proses keseluruhan rawatan bagi gejala menopaus boleh berlanjutan satu ke dua tahun.  

Pengamal CM bertauliah di IMU Healthcare, Sin Yen Suan, bertemu dengan ramai wanita yang bermasalah ginekologi, seperti isu kesuburan hinggalah ke isu menopaus. Melalui rawatan CM, para doktor akan merawat masalah kesihatan dengan cara menangani ketidakseimbangan dalam badan secara terapi individu. Ini kerana, bagi wanita yang mengalami perimenopaus dan menopaus, badan mereka sedang mengalami banyak perubahan. Sesetengah daripada mereka sukar untuk menghadapi dan mengatasinya.

Berikut adalah beberapa gejala menopaus lain:

  • darah haid yang berterusan dan banyak
  • kuat berpeluh
  • rasa hangat panas
  • tidur yang terganggu

Bagi membantu mengatasi isu ini, doktor menyarankan untuk melakukan beberapa rawatan berbeza seperti memberikan ubat herba untuk mengimbangi qi atau akupunktur untuk merangsang aliran darah pada titik meridian. Kaedah-kaedah ini membantu meredakan emosi mereka supaya mereka boleh berasa lebih baik dan dapat tidur lena pada waktu malam.

Bagi mereka yang mahu tahu lebih lanjut mengenai terapi hormon, Profesor Dr. Nazimah memberi jaminan bahawa secara umumnya ia boleh diterima dengan baik dan sangat membantu melegakan rasa hangat panas dan antara lainnya meningkatkan kualiti tidur, kekeringan faraj dan inkontinens urinari (ketidakupayaan mengawal pembuangan air kencing).

Rawatan hormon ada pelbagai jenis. Doktor akan mengesyorkan jenis rawatan berdasarkan keperluan individu, selain bergantung kepada sejarah keluarga. 

Selain itu, pengambilan tablet tambahan dan krim topikal juga baik dalam membantu mengurangkan kekeringan faraj. Pihak doktor akan mengesyorkan tablet yang mengandungi kedua-dua estrogen dan progesteron, yang mana masing-masing membantu melegakan gejala dan melindungi rahim.

Bagi wanita yang sudah menjalani histerektomi (prosedur membuang rahim), rawatan yang boleh dilakukan adalah pegambilan tablet seperti kuantiti dicadangkan. Ada juga sejenis ubat yang dikenali sebagai tibolone yang membantu mengurangkan risiko osteoporosis, yang berkait rapat dengan kekurangan estrogen.

Siapakah Yang Boleh Mendapatkan Rawatan Terapi Hormon Untuk Mengurus Menopaus?

Kebanyakan wanita boleh menerima rawatan terapi hormon.

Namun, bagi mereka yang menghidap barah payudara, berpenyakit hati, tromboembolisme (penyekatan pembuluh darah oleh gumpalan darah beku) dan penyakit jantung, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan terapi hormon. Anda boleh mendapatkan rawatan dan ujian lain yang disyorkan.

Kesimpulannya, menopaus bukanlah sejenis penyakit. Anda perlu menjadi lebih berpengetahuan mengenai perubahan yang dialami badan anda supaya dapat mengurangkan kebimbangan. Selain itu, anda juga boleh membantu dengan menyampaikan maklumat ini kepada para ibu dan kawan-kawan yang mungkin tidak terdedah dengan perkara ini. Melaluinya, wanita lain dapat sama-sama memahami apa yang boleh dijangkakan sebelum dan selepas menopaus.