Bagi kebanyakan individu, gel pengilat kuku atau manicure gel tidak mungkin boleh mendatangkan masalah. Namun, tidak bagi segelintir individu yang gel pengilat kuku ini boleh mencetuskan alahan sepanjang hayat lebih-lebih lagi bagi individu yang mengalami masalah kesihatan dan menggunakan pelbagai peranti perubatan.
Untuk pengetahuan anda, bahan kimia utama yang terkandung di dalam gel pengilat kuku ini dikenali sebagai akrilat. Menurut Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) telah mengklasifikasikan akrilat sebagai karsinogen yang mana sekiranya individu terdedah kepada akrilat, ia boleh menyebabkan tindak balas kulit, mata dan tekak serta akibat kesihatan yang lebih serius seperti kanser.
Secara umumnya, gel pengilat ini telah wujud sejak sekurang-kurangnya 1980-an. Ia sering digunakan oleh para wanita untuk menghias kuku agar tampak lebih berseri. Gel pengilat kuku ini memerlukan pendedahan kepada cahaya UV atau LED untuk mengeras dan kering.
Bagaimana Penggunaan Gel Pengilat Kuku Boleh Meningkatkan Masalah Kesihatan?
Faktor utama yang mendorong kepada masalah kesihatan kesan daripada pemakaian gel pengilat kuku adalah disebabkan oleh cara penggunaan yang tidak betul
Kebiasaannya juruteknik kuku akan hadir dengan proses pemakaian gel pengilat kuku yang tersendiri. Namun, apabila anda melakukannya sendiri di rumah tanpa mengikut tatacara penggunaan yang betul, ia boleh menyebabkan pelbagai reaksi seperti:
- gatal-gatal dan kemerahan pada katil kuku
- kemerosotan pernafasan
- kelemahan atau kehilangan kuku
Selain daripada reaksi di atas, terdapat beberapa reaksi alahan yang biasa turut boleh dialami individu iaitu dermatitis kontak, keadaan di mana kulit mungkin menjadi merah, bergelombang, bersisik, gatal, atau bengkak pada titik sentuhan dengan alergen.
Gejala ini biasanya berlaku pada tangan, jari, atau pergelangan tangan; namun ia masih boleh merebak ke kawasan yang biasa disentuh seperti muka, leher dan kelopak mata yang turut mungkin terjejas. Reaksi alahan juga boleh muncul pada jari kaki atau kaki.
Sekiranya anda mengalami alahan akibat akrilat, doktor mengatakan ia sering menjadi kekal. Disebabkan itu juga, sebahagian doktor akan memberi amaran kepada pengguna penjagaan kuku, dan individu yang membeli kit gel pengilat kuku di rumah, supaya menyedari risiko prosedur ini dan langkah berjaga-jaga yang boleh mereka ambil untuk menyelesaikannya dengan selamat—di salon atau di rumah.
Untuk pengetahuan anda lagi, tidak terhad kepada kuku sahaja, akrilat sebenarnya muncul di beberapa produk lain juga termasuk venir, gam pembedahan, dan juga sambungan rambut dan bulu mata.