Carian
Cara Mengurus Dan Menjaga Kanak-Kanak Yang Mengalami Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut (HFMD)
June 9, 2023 Lina Rosli

Setiap ibu bapa sudah tentunya arif dengan tabiat anak kecil mereka yang suka memasukkan hampir setiap benda ke dalam mulut, sehinggakan merisikokan mereka dengan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Penyakit kaki, tangan dan mulut sangat mudah untuk menular dan merebak. Terkini, di Malaysia, terdapat 170 kluster yang menyebabkan ramai kanak-kanak menjadi sakit sehinggakan ibu bapa bergelut untuk menjaga anak-anak yang dijangkiti. Dalam waktu yang sama mereka perlu menangani urusan kerja dan rumahtangga, selain terpaksa berhadapan dengan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang perlu ditutup operasi bagi mengelakkan penularan virus menjadi lebih serius.

Biarpun penyakit ini sering berlaku, namun masyarakat setempat masih lagi tidak begitu jelas mengenainya dan apa yang perlu mereka lakukan. 

Bagi memberi pendedahan kepada individu mengenai HFMD, Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Erwin Khoo membentangkan tiga fakta penting mengenai HFMD dan turut berkongsi beberapa petua berguna untuk ibu bapa.

HFMD Sangat Mudah Menular Dan Virusnya Boleh Kekal Dieram Sehingga 14 Hari

Gejala-gejala yang boleh dilihat pada kanak-kanak yang mengalami HFMD termasuklah:

  • demam
  • luka di dalam mulut dan ruam

HFMD dan cacar air adalah contoh viral exanthem (ruam atau radang pada kulit yang disebabkan jangkitan virus). Tidak seperti cacar air, ruam selalunya tidak timbul pada badan tetapi pada tangan dan kaki, dan ada masanya pada lutut, siku dan punggung.

Penyebab HFMD adalah virus dan biasanya ia adalah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71. Virus-virus ini boleh ditemui dalam saluran pernafasan dan najis, serta di dalam lepuh berair yang terbentuk pada tangan dan kaki.

Virus tersebut kekal mudah berjangkit pada permukaan keras untuk beberapa hari. Tempoh eraman biasanya di antara 3 ke 7 hari dan boleh sehingga dua minggu. Ini sekaligus menjadikan HFMD mudah merebak dalam kalangan kontak rapat dan di dalam keadaan di mana barang mainan serta perkakas dikongsi, atau apabila kebersihan tangan tidak diamalkan dengan baik terutamanya ketika melakukan rutin menukar lampin kotor selepas kanak-kanak membuang air besar.

HFMD Juga Boleh Menjangkiti Orang Dewasa

Ketika kebanyakan daripada kita menganggap HFMD sebagai penyakit yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak, ia juga sebenarnya boleh menjangkiti orang dewasa.

Sesetengah orang berpendapat orang dewasa mendapat gejala yang lebih serius, tetapi kajian mendapati orang dewasa hanya mengalami gejala lebih ringan. Orang dewasa yang dijangkiti boleh menularkan virus kepada orang lain.

Sebagai contoh, mereka yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak yang ada kes HFMD, boleh membawa virus ke rumah di mana akhirnya menjangkiti pasangan, anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua. Adalah tidak mustahil untuk mendapat HFMD lebih daripada sekali kerana strain yang berbeza, selain keimunan kepada enterovirus adalah bersifat sementara.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan:

Mempunyai pesakit HFMD di rumah bermakna ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan berwaspada tentang kepentingan menghadkan hubungan individu yang dijangkiti dan mengamalkan kebersihan tangan yang baik. Ia adalah sama seperti langkah pencegahan yang diamalkan ketika pandemik.

  • Ibu bapa dan penjaga perlu membasuh tangan atau membasmi kuman dengan kerap, terutama selepas merawat anak yang menghidap HFMD.
  • Kawasan umum di dalam rumah perlu sentiasa dilap dengan pembasmi kuman.
  • Elakkan berkongsi makanan serta perkasas, dan tidak menyentuh mata atau hidung.

Langkah-langkah ini perlu diteruskan sehingga 10 hari. Kanak-kanak yang disahkan mendapat HFMD perlu duduk diam di rumah untuk mencegah penyebaran jangkitan kepada orang lain. Namun begitu, langkah ekstrem seperti mengasingkan kanak-kanak itu bersendirian di bilik adalah agak melampau dan tidak wajib kerana virus penyebab HFMD tidak merebak melalui udara seperti jangkitan saluran pernafasan yang lain.

Tiada Ubat Atau Rawatan Khusus Untuk HFMD

Sayang sekali, tiada cara untuk mencegah HFMD. Walaupun terdapat virus berbeza yang menyebabkan HFMD, tetapi tiada rawatan khusus atau ubat untuk mengurangkan gejala. Yang ada hanyalah kaedah melegakan simptom.

Pakar memberi amaran mengenai beberapa remedi yang biasa dikongsikan, seperti mandi menggunakan larutan garam kasar atau berendam di dalam air berenzim, kerana ia boleh merengsakan kulit. Selain daripada itu, tiada bukti yang mengatakan cara-cara itu berkesan untuk mempercepatkan proses penyembuhan yang lazimnya mengambil masa di antara 7 ke 10 hari.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan:

  • Rawat demam dengan memberi paracetamol atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), yang turut membantu mengurangkan kesakitan dan radang pada ulser mulut. Namun begitu, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor pakar kanak-kanak sebelum memberi NSAIDs kepada anak mereka.  
  • Beri anak makan makanan yang senang ditelan seperti sup dan bubur nasi sebagai ganti makanan pejal yang memerlukan mereka mengunyah.
  • Cegah penyahhidratan dengan memberi anak minuman atau jus kesukaan mereka.  
  • Legakan ulser mulut dengan kudapan sejuk seperti aiskrim, yogurt dan agar-agar. Bilasan mulut tanpa alkohol dan gel mulut pun boleh membantu.
  • Mandi dengan kerap untuk melegakan kudis dan keringkan dengan lembut menggunakan tuala untuk mengelakkan lepuh daripada pecah (jika ada). Elakkan sabun mandi dan penyental kasar yang boleh merengsakan lagi kulit.
  • Elak memasang penyaman udara pada waktu malam kerana ulser mulut boleh menjadi lebih sakit disebabkan kurangnya pengeluaran air liur kerana persekitaran yang lebih kering. Jika cuaca panas, adalah lebih membantu jika menggunakan alat pelembap (humidifier) atau letak mangkuk berisi air untuk memastikan udara sentiasa lembap. Sekiranya rasa sakit menghalang pesakit berehat, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak mengenai penggunaan ubat penahan sakit walaupun tidak demam.

HFMD Boleh Menyebabkan Komplikasi Serius

Dalam kebanyakan kes, pemulihan di rumah dengan rawatan atas kaunter adalah memadai untuk melegakan gejala seperti demam, ruam atau bintik-bintik merah pada tapak tangan atau kaki, dan ulser mulut.

Biarpun bintik-bintik tersebut tidak gatal, ulser di dalam mulut boleh menyakitkan dan menghalang kanak-kanak daripada minum, makan dan menelan seperti biasa. Ini boleh membawa kepada penyahhidratan dan dalam kes-kes serius, memerlukan rawatan perubatan.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan:

  • Jika anak kurang kencing, mulutnya kering dan kurangnya air mata apabila menangis, itu tanda-tanda anak mengalami penyahhidratan yang teruk dan memerlukan rawatan perubatan.
  • Dapatkan rawatan perubatan segera jika berlaku gejala-gejala seperti kadar pernafasan yang laju, kebingungan, mengantuk, pening-pening, leher kaku, sawan, demam melebihi tiga hari dan apabila anak tidak mahu makan atau minum.

HFMD juga menyebabkan meningitis virus. Sebaiknya berjumpa doktor untuk mengelakkan komplikasi ini.

Kesimpulannya, walaupun situasi ini difahami sebagai sangat menggusarkan, Dr Erwin berkata adalah membantu sekiranya kita melihatnya pada sisi pandang yang berbeza. Mengetahui simptom dan cara pengurusan adalah penting untuk ibu-bapa mengatur langkah dan proses penjagaan yang bersesuaian.

Komen