Bagaimana Carpal Tunnel Syndrome Boleh Berlaku? Apa Itu Trigger Finger?

June 12, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Setiap hari, kita menjalani rutin seharian tanpa memikirkan bagaimana pergerakan berulang seperti penggunaan papan kekunci komputer dan tetikus komputer, menatal (scroll) skrin telefon, penggunaan alatan bergetar semasa bekerja atau melakukan kerja rumah sebenarnya boleh menyumbang kepada risiko kesihatan tersembunyi dan menyebabkan kesihatan semakin merosot.  

Aktiviti-aktivi ini boleh membawa kepada penyakit seperti sindrom terowong carpal atau carpal tunnel syndrome yang berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Oleh yang sedemikian, adalah penting untuk mengambil tahu punca penyakit ini berlaku dan tahu cara untuk menghindarinya supaya orang ramai lebih sedar bagaimana aktiviti harian mereka yang kelihatan tidak berbahaya sebenarnya boleh menghasilkan kesan sedemikian.

Bagaimana carpal tunnel syndrome boleh berlaku?

Carpal tunnel syndrome terjadi apabila saraf median yang terletak di dalam terowong carpal, sebuah laluan sempit daripada bahagian lengan ke bahagian tapak tangan menjadi terhimpit.

Antara gejala sindrom ini termasuklah lemah tangan untuk menggengam objek serta rasa sakit dan kebas. Walaupun terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyumbang kepada berlakunya penyakit ini, ia sering dicetuskan oleh pergerakan tangan berulang yang kerap berlaku. 

Menurut Dr Raymond Yeak Dieu Kiat, Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Pembedahan Sukan daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), pemerhatian epidemiologi ini menunjukkan kaitan ketara di antara sindrom carpal tunnel dan aktiviti harian yang dilakukan. 

Antara faktor lain yang menyebabkan carpal tunnel syndrome termasuklah:

  • penyakit sendi atau tulang
  • perubahan hormon atau metabolik
  • paras gula dalam darah yang tidak menentu boleh menyumbang kepada berlakunya sindrom carpal tunnel juga.

Selain itu, radang sendi boleh menyebabkan sarung pelindung yang mengelilingi pelbagai tendon dalam carpal tunnel pergelangan tangan menebal dan kemudiannya mengurangkan ruang yang sememangnya sudah terhad lalu memberi tekanan kepada saraf median.

Tambahan lagi, penyakit diabetes sendiri boleh mengakibatkan neuropati, dan ini bermaksud penyempitan laluan carpal tunnel boleh memberi kesan yang ketara kepada pesakit diabetes serta membawa kepada sindrom carpal tunnel bergejala.

Adakah wanita lebih terdedah kepada penyakit ini?

Individu yang pernah mengalami kecederaan pada pergelangan tangan, terseliuh, terkehel atau sebarang keradangan sebelum ini lebih terdedah untuk mendapat sindrom carpal tunnel.

Satu lagi fakta menarik ialah penyakit carpal tunnel juga cenderung untuk memberi kesan kepada wanita lebih daripada lelaki – dengan kehamilan menjadi faktor penyebab yang ketara.

Dr Maria Shelynn Wong, Pakar Perunding Pembedahn Ortopedik, Trauma dan Pediatrik di SMCV menekankan bahawa walaupun kira-kira 4% daripada golongan dewasa terkesan oleh sindrom carpal tunnel, dengan kelaziman simptom dalam kalangan wanita hamil dianggarkan sebanyak 31% hingga 62%.

Semasa hamil, setiap ibu mengalami peningkatan jumlah darah sebanyak dua kali ganda. Justeru, lebihan darah ini akan meningkatkan tekanan dan menyebabkan pembengkakan pada saluran darah di seluruh badan mereka. Akibatnya, pembengkakan ini boleh memampatkan saraf median pada pergelangan tangan lalu berpotensi mengakibatkan sindrom carpal tunnel terjadi.

Mujurlah, sindrom carpal tunnel biasanya berkurangan selepas si ibu melahirkan kerana paras cecair darah akan kembali normal dan mengurangkan tekanan tambahan pada saluran darah.

Oleh itu, ibu hamil dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya masih mengalami sebarang simptom sindrom carpal tunnel pada tangan mereka. Mendapatkan konsultasi daripada pakar perubatan membolehkan para ibu untuk lebih memahami dan membuat keputusan yang terbaik untuk kesihatan mereka, selain dapat memberikan ketenangan fikiran kepada ibu semasa proses kehamilan mereka yang sememangnya sudah mencabar.

Sindrom trigger finger dan carpal tunnel

Individu yang mengalami sindrom carpal tunnel juga mungkin menghadapi satu lagi penyakit bukan traumatik dialami ramai yang dikenali sebagai trigger finger.

Secara saintifiknya, penyakit trigger finger dirujuk sebagai stenosing tenosynovitis pada tendon fleksor dan terjadi apabila satu atau lebih jari mengalami kekejangan (locking or catching) ketika membengkokkan dan meluruskan jari tangan, lalu menyebabkan kesakitan dan ketegangan. 

Pakar turut menjelaskan bahawa salah satu punca utama sindrom trigger finger berlaku adalah melalui aktivi-aktiviti berulang seperti memulas, memicit, menggenggam, atau aktiviti tangan lain yang kuat.

Selain itu, penyakit seperti diabetes dan rheumatoid arthritis juga berpotensi untuk menyebabkan sindrom trigger finger terjadi. Sama seperti sindrom carpal tunnel, wanita hamil juga berisiko untuk mendapat trigger finger akibat pengekalan cecair (water retention) dan pembengkakan semasa hamil.

Akhir sekali, trigger finger lebih kerap diperhatikan untuk berlaku di kalangan individu yang lebih berusia dan jarang berlaku pada kanak-kanak. Bagaimanapun, Dr Maria menyebut bahawa terdapat satu keadaan yang jarang berlaku dan dipanggil congenital trigger thumb yang terjadi kepada bayi dan boleh menyebabkan ibu jari bayi terkunci.

Selain warga emas, golongan lain yang terdedah kepada trigger finger ialah suri rumah. Hal ini kerana cengkaman dan genggaman berulang kali pada peralatan dapur dan alat pembersih rumah boleh menyumbang kepada penyakit ini.

Justeru, penyakit ini boleh menjejaskan sesiapa sahaja yang terlibat dalam aktiviti yang melibatkan pergerakan tangan berulang termasuklah aktiviti seperti menjahit, mengait dan mencuci pakaian dengan tangan.

Tidak ketinggalan juga, individu yang mempunyai pekerjaan atau hobi yang melibatkan kerja tangan yang berulang, tugasan menaip yang intensif, atau memerlukan mereka untuk mencengkam peralatan secara berpanjangan juga berisiko tinggi untuk mendapat trigger fingger. Namun begitu, terdapat langkah-langkah pencegahan dan pilihan rawatan yang tersedia yang dapat membantu pesakit dengan kedua-dua sindrom ini.

Mengurangkan risiko dan pilihan rawatan tersedia

Untuk mengelakkan berlakunya sindrom carpal tunnel dan trigger finger, individu dicadangkan untuk mengurangkan pergerakan tangan berulang jika tidak perlu, seperti mengehadkan penggunaan telefon bimbit secara santai dan mengambil masa untuk berehat secukupnya.

Pakar turut menyarankan orang ramai supaya melakukan sedikit regangan semasa berehat untuk mengurangkan kekakuan dan meningkatkan julat pergerakan pada kawasan tangan yang terjejas.

Pilihan rawatan bagi sindrom carpal tunnel dan trigger finger juga akan diberikan bersesuaian dengan setiap pesakit dan pilihan pertama adalah:

  1. Splinting – menggunakan sejenis alat untuk menyokong anggota badan terjejas. Ia biasanya melibatkan penggunaan splint di pergelangan tangan neutral dengan bar logam yang menyekat pergerakan pergelangan tangan sambil membenarkan pergerakan jari. Dengan membiarkan saraf median berehat, splinting boleh membantu mengurangkan bengkak dan memudahkan penyembuhan kerosakan saraf ringan hingga sederhana. Splint juga boleh dipakai semasa tidur dan sekerap mungkin sepanjang hari.
  2. Fisioterapi – melibatkan senaman untuk meningkatkan julat pergerakan pergelangan tangan dan jari serta menguatkan kawasan yang terjejas.
  3. Pengambilan ubat-ubatan – suntikan melegakan kesakitan (pain relief injection) mengandungi gabungan steroid dan anestesia setempat disuntik di sekitar saraf median boleh memberi kelegaan dan manfaat kepada sesetengah pesakit. Walau bagaimanapun, preskripsi steroid semasa kehamilan biasanya dielakkan untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan. 

Bagi golongan ibu, Dr Maria menasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kesihatan pergelangan tangan mereka walaupun selepas bersalin. Ini kerana aktiviti seperti kerap mengangkat bayi dan melakukan gerakan berulang-ulang berpotensi untuk menyumbang kepada tendinopati.

Apa itu tendinopati? Untuk pengetahuan anda, sejenis gangguan tendon yang mengakibatkan kesakitan, bengkak, dan fungsi terjejas yang disebabkan oleh penggunaan tangan yang berlebihan. Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang ketegangan atau kecederaan selepas bersalin.

Kesimpulannya, sindrom carpal tunnel tidak terhad kepada usia tua atau hanya terhad kepada satu punca. Penyakit ini boleh berlaku kepada semua peringkat umur dan selalunya dipengaruhi oleh aktiviti seharian kita.

Dengan memupuk kesedaran tentang potensi risiko yang dikaitkan dengan pergerakan tangan yang berulang, kita boleh mengambil langkah proaktif untuk mencegah dan menguruskan keadaan seperti sindrom carpal tunnel dan trigger finger. Dengan berbuat demikian, kita akan lebih mengutamakan kesihatan tangan dan kesejahteraan tubuh secara menyeluruh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd