Sudahkah anda melihat rekaan logo dan susun atur baharu untuk kedai aiskrim popular Baskin Robbins? Jika belum, tahukah anda bahawa menerusi pengenalan rupa baharu Baskin Robbins, ia memperlihatkan pembaharuan dari sudut warna dan juga muka taip logo selain turut hadir dengan vibes kedai yang lebih moden dan elegan.

Berbeza dengan rekaan dan penggunaan logo sebelum ini, teks ‘BR’ yang baharu ini menggunakan jenis muka taip serif yang sedikit tebal dan menggabungkan dua warna – putih dan juga merah jambu. Melengkapkannya adalah teks ‘Baskin Robbins’ yang kini ditulis menggunakan huruf besar dan muka taip jenis sans serif.

Untuk logo Baskin Robbins juga, jenama ini tidak lagi meletakkan typografi mereka di dalam gelung bulat berwarna merah jambu dan biru. Namun, bentuk bulat tersebut disusun pada bahagian tengah yang terletak di antara teks ‘Baskin’ dan juga ‘Robbins’.

Dengan penjenamaan semula kedai Baskin Robbins ini, nampaknya, jenama ini kini mula mengetengahkan elemen yang lebih matang dan telah menggantikan gaya yang memfokuskan kepada kanak-kanak pada logo dan seni hias sebelum ini.

Selain itu, palet warna Baskin Robbins juga telah ditambah. Penjenamaan baharu ini datang dalam warna coklat dan merah jambu, coklat dan biru serta merah jambu dan putih.