Taman Tema LEGOLAND Bakal Memperkenalkan Kepelbagaian Malaysia Menerusi MINILAND Amazing Malaysia Pada Ogos 2023

June 15, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Dibina sempena memperingati kepelbagaian Malaysia, Taman Tema LEGOLAND bakal hadir dengan landskap dan seni bina baharu di dalamnya iaitu MINILAND Amazing Malaysia. Ia adalah model LEGO berskala terbina baharu yang ditampilkan khas dalam memperkenalkan budaya yang indah dari timur ke barat Malaysia.

Berdasarkan dari rancangan LEGOLAND Malaysia Resort, taman batu bata LEGO baharu MINILAND Amazing Malaysia bakal dilancarkan menjelang Ogos 2023. Di dalam taman ini, anda boleh melawati tapak warisan yang unik seperti suasana budaya di Kota Bahru, Kelantan, landskap Gua Mulu, Sarawak yang menakjubkan dan kesibukan Georgetown, Pulau Pinang.

MINILAND Amazing Malaysia turut hadir dengan penawaran permainan interaktif yang membawa pemain ke dunia animasi penuh aksi di kawasan sekitar MINILAND. Bukan itu sahaja, para tetamu yang menetap di resort LEGO juga boleh menikmati pelbagai pengalaman menarik tanpa perlu meninggalkan resort.

Untuk pengetahuan anda, MINILAND Amazing Malaysia baharu dijadualkan siap dan dipasang dalam masa 2 bulan dan dijangka mengambil masa sehingga 14,000 jam pembinaan. Taman Lego MININLAND ini juga akan dibina dengan 1.38 juta LEGO Bricks dan akan menampilkan 126 Model LEGO berskala besar.

Sementara untuk tetamu yang merancang untuk melawat LEGOLAND Malaysia Resort masih boleh singgah ke MINILAND untuk menikmati struktur teduh setinggi 5 tingkat baharu yang meliputi seluruh kawasan. Para tetamu boleh menikmati pengalaman yang lebih sejuk dan selesa sambil mereka berinteraksi dengan karya agung LEGO yang dibina dengan lebih 30 juta batu bata LEGO yang mempamerkan tarikan terkenal dari 17 negara Asia.

Bagi yang berminat, nantikan pengumuman baharu daripada LEGOLAND Malaysia Resort di laman rasmi LEGO atau ikuti perkembangan menarik LEGO di Facebook dan Instagram.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd