Tips Mencuci Berus Solek – Berapa Kerap Anda Perlu Membersihkan Berus Dan Span Solekan?

June 16, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Sejujurnya, berapa kerap anda mencuci berus solek anda? Adakah seminggu sekali? Sebulan sekali ataupun dua bulan sekali?

Menurut pakar dermatologi, berus solek yang kotor sebenarnya mengumpulkan sisa produk, kotoran, dan minyak yang banyak. Ini menjadikannya tempat pembiakan bakteria yang boleh mendatangkan kerosakan pada kulit anda.

Secara umumnya, setiap individu akan menggunakan berus solek dan menyapukannya setiap hari dikulit wajah. Dan oleh sebab itu, pastinya akan banyak kotoran dan sisa produk yang melekat pada berus sekaligus memerlukan anda untuk membersihkannya dengan kerap.

Sekiranya anda merupakan pengguna tegar berus solek, memberikan mereka cucian menyeluruh setiap satu bulan tidak mencukupi. Menurut pakar dermatologi dan artis solekan, apabila anda selalu menggunakan alat dan berus solek, anda juga haruslah mencucinya dengan lebih kerap untuk mencegah pembentukan bakteria, yang boleh menyebabkan jerawat.

Jadi, untuk memastikan anda mudah untuk mencuci kesemua berus solekan anda, Tajria hari ini akan berkongsikan cara dan panduan langkah demi langkah daripada artis solek dan pakar dermatologi tentang cara membersihkan berus solek anda.

Tips Membersihkan Berus Solek – Berapa Kerap Anda Perlu Mencuci Berus Dan Span Solekan?

Untuk pengetahuan anda, tiada jumlah kekerapan yang ditetapkan oleh pakar. Namun, mereka mengesyorkan anda untuk mencuci berus solek sekurang-kurangnya setiap dua minggu atau lebih jika anda mula melihat bahawa terdapat sebarang solek yang kelihatan pada berus.

Ini kerana, apabila anda sudah mula melihat kekotoran muncul pada bahagian berus ataupun span, ia menunjukkan bahawa berus tersebut sudah tidak lagi bersih dan sisa kotoran sudah mula berkumpul di bahagian dalam.

Menurut artis solekan Bobbi Brown, dia menyarankan individu untuk membersihkan berus solekan setiap minggu kerana beliau menyatakan bahawa semakin kerap anda mencuci berus, semakin kurang risiko sisa kotoran melekat pada berus.

Untuk membersihkannya, anda perlu menyediakan beberapa bahan asas seperti:

  • air suam
  • sabun cucian yang tidak mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan kulit
  • cecair disinfektan

Langkah Untuk Membersihkan Berus Solek

  1. Basahkan dan rendam berus solek yang ingin dicuci menggunakan air suam.
  2. Kemudian, tambahkan sabun pencuci berus dan juga disinfektan ke dalam mangkuk yang digunakan untuk merendam berus.
  3. Secara lembut, gosok dan buangkan sisa-sisa kotoran pada berus dengan cara menyorotnya pada tapak tangan anda.
  4. Setelah anda mendapati berus yang dicuci sudah hilang kotoran dan warnanya kembali kepada yang asal, bilaskan dengan teliti berus tersebut menggunakan air bersih.
  5. Selepas itu, perah lebihan air bilasan dan lapkan berus-berus solekan anda menggunakan tisu atau tuala bersih sehingga kering.
  6. Berus anda akan kembali kepada rupa dan bentuk asal sekiranya bulu pada berus mulai kering.

Harus diingatkan, elakkan daripada menggunakan pengering rambut atau kipas pemanas. Hal ini kerana, haba panas akan merosakkan tekstur berus dan selain turut mencairkan gam yang memegang bulu berus supaya tidak tertanggal.

Selain itu juga, elakkan daripada menggantung berus secara menegak. Ini kerana akan menyebabkan lebih air masuk ke dalam ferrule sekaligus menyebabkan cengkaman gam pada berus mulai longgar.

Bolehkah Anda Menggunakan Sabun Pencuci Pinggan?

Sebelum ini, pernah popular di media sosial yang mana individu melakukan cucian berus menggunakan sabun pencuci pinggan. Adakah ia berkesan?

Menjawab kepada persoalan itu, tidak semua sabun pencuci pinggan bersesuaian untuk kulit wajah individu. Ini kerana, sesetengah sabun pencuci pinggan boleh menyebabkan kerengsaan dan cenderung meninggalkan sisa pada berus disebabkan kandungan bahannya yang mengandungi sulfat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd