Carian
Mschf Memperlihatkan Beg Tangan Terkecil Di Dunia – Perlu Dilihat Menggunakan Mikroskop
June 20, 2023 Lina Rosli

Selepas memperkenalkan but merah besar dan juga beberapa variasi rekaan kasut yang unik, Mschf yang merupakan sebuah jenama dari Amerika yang menawarkan variasi kolektif seni yang terdiri daripada produk fizikal, seni fotograf, dan pelbagai yang lain telah memperlihatkan satu lagi produk baharu iaitu beg tangan paling kecil di dunia.

Berdasarkan perkongsian, rekaan beg tangan mikroskopik dari Mschf ini perlu dilihat menggunakan kanta. Hal ini kerana, saiznya adalah sangat kecil yang mana jika dibandingkan dengan habuk, beg tangan Mschf ini hanya lebih besar sedikit daripadanya.

Menurut Mschf, beg tangan mikroskopik ini diperbuat daripada resin fotopolimer yang berukuran 657 kali 222 kali 700 mikrometer. Beg kecil itu dimodelkan mengikut inspirasi dari beg tangan OnTheGo monogram Louis Vuitton.

Namun, Mschf dilaporkan tidak melakukan kolaborasi rasmi bersama rumah fesyen Perancis, Louis Vuitton. Jadinya, ia tidak ditawarkan secara terbuka di laman rasmi LV dan juga butik-butik jualan fesyen.

Akan tetapi, beg tangan ini dijangka akan dibuka bidaannya menerusi acara Paris Fashion Week untuk dimiliki oleh orang umum sekitar minggu ini.

Komen