Tahukah anda, kini Watsons telah mempunyai 700 cawangan fizikal di seluruh Malaysia?
Memilih pusat beli-belah KSL Esplanade Mall sebagai lokasi ke-700 mereka, kedai baharu Watsons ini mempunyai keluasan lebih 400 kaki persegi dan menjadi kedai Watsons terbesar di daerah utama Klang.
Tidak hanya itu, lokasi terbaru Watsons ini turut lengkap dengan perkhidmatan realiti tambahan baharu yang mana ia turut mengetengahkan inisiatif kemampanan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dan menyokong pertumbuhan perniagaannya di Asia.

Menurut Watsons Malaysia juga, jenama mereka telah berkembang daripada 535 kedai pada 2019 kepada 700 kedai untuk tahun 2023. Manakala untuk Asia, setelah menambah 1,400 kedai dalam tempoh 3 tahun, Watsons kini telah mencapai angka 8,000 untuk jumlah keseluruhan kedai mereka di seluruh Asia.
Dari sudut ganjaran dan kesetiaan, Watsons kini mempunyai 7.2 juta ahli berdaftar yang mana jumlah ini meningkat sebanyak 1.5 juta ahli baharu jika dibandingkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 5.7 juta.
Dengan pertambahan angka untuk jumlah ahli Watsons, jenama ini turut memperkenalkan ciri StyleMe, perkhidmatan percubaan solek maya yang dikuasakan teknogi realiti terimbuh yang membolehkan pelanggan mendapatkan produk solekan dicadangkan oleh jurusolek profesional yang diperibadikan.

Akhir sekali, untuk cawangan Watsons di KSL Esplanade Mall, anda boleh menikmati pengalaman pembelian yang lebih pelbagai menerusi pengenalan ruang khusus untuk suplemen kecantikan, ruang bagi produk kecantikan eksklusif Korea, sudut e-setem untuk penebusan barangan dan lorong khusus untuk ahli Watson’s Elite.
Dalam mempromosikan kemampanan, Watsons telah memperkenalkan stesen isian semula Sustainable Choices untuk produk lestari Watsons, Natural, bagi menggalakkan pelanggan mengurangkan kesan karbon dan penggunaan plastik secara menyeluruh.