Carian
Perbezaan 3 Jenis Espresso Di Starbucks – Espresso, Blonde Roast, Decaf Espresso
June 21, 2023 Lina Rosli

Jika anda pernah menikmati hidangan secangkir kopi di Starbucks, pastinya anda sudah mempunyai senarai minuman yang sentiasa berada dekat di hati anda. Sama ada yang pahit, yang manis atau yang mempunyai perisa tambahan dan bermacam-macam lagi.

Namun, untuk individu yang baru sahaja ingin mengenali tentang jenis-jenis kopi yang ditawarkan di Starbucks, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda perbezaan antara 3 jenis espresso yang perlu anda ketahui sebelum memulakan pesanan di kaunter.

Perbezaan 3 Jenis Espresso Di Starbucks – Espresso, Blonde Roast, Decaf Espresso

Tahukah anda perbezaan di antara ketiga-tiga jenis espresso ini – espresso, blonde roast dan juga decaf espresso?

Menjelaskan tentang decaf espresso dahulu, menurut FDA, kopi decaf dipasarkan sebagai “tanpa kafein”, yang mana ia hanya mengandungi kira-kira 2 mg kafein, berbanding secawan kopi biasa yang mempunyai sekitar 95 mg kafein.

Apakah perbezaan decaf espresso dengan espresso biasa?

Perkara pertama yang harus anda ketahui mengenai kopi decaf adalah, ia masih lagi boleh menghasilkan minuman espresso sama seperti di dalam menu.

Ini bermaksud jika anda memesan latte, flat white, mocha, macchiato, cappuccino ataupun americano, ia masih lagi mempunyai aroma dan rasa yang sama seperti kopi biasa.

Dengan kata lain, penggemar kopi decaf dapat menikmati semua kelazatan yang dapat diminum oleh peminum kafein. Cuma apa yang membezakannya adalah proses penyediaan biji kopi yang dinamakan sebagai decaffeination

Di dalam proses ini, kacang kopi akan dipanaskan dan direndam dalam cecair untuk melarutkan dan mengeluarkan kafein. Dibawah adalah cara lain yang digunakan yang merujuk kepada proses decaffeination:

  •  sama ada sekadar menggunakan air sahaja
  •  menggunakan campuran air dan pelarut seperti methylene chloride atau ethyl acetate digunakan sama ada secara langsung atau tidak langsung
  • atau menggunakan air dan karbon dioksida superkritikal iaitu cecair karbon dioksida yang berada pada atau di atas suhu kritikal dan tekanan kritikal

Apa pula yang dimaksudkan dengan Blonde Roast di Starbucks?

Perbezaan paling utama untuk kedua-dua espresso dan juga blonde roast adalah cara biji kopi tersebut dipanggang.

Sekiranya anda memilih espresso, biji kopi ini biasanya akan dipanggang lebih lama pada suhu yang tinggi. Oleh sebab itu, anda akan merasakan kopi yang dihidangkan terasa lebih pahit selain turut mempunyai rasa kopi yang kuat.

Manakala biji kopi jenis blonde roast pula dipanggang pada suhu yang lebih rendah dan juga tempoh masa yang lebih singkat. Ini sekaligus memberikan rasa kopi yang lebih ringan, halus dan tidak terlalu berasid.

Namun harus diingatkan, walau ia tidak sepahit espresso, hakikatnya kopi jenis blonde roast mempunyai paras kafein yang tinggi. Ini disebabkan masa pemanggangan biji kopi yang lebih singkat, kacang menyimpan lebih banyak minyak dan, seterusnya, lebih banyak kafein. Oleh itu, biji kopi blonde roast paling sesuai untuk minuman ringkas seperti Caffé Americano atau latte, membolehkan anda menikmati keunikan panggangan ini.

Jadi, manakah jenis espresso yang akan menjadi minuman pilihan anda?

Jika anda mengunjungi Starbucks, terdapat beberapa pilihan minuman yang menarik. Sebagai contoh, kopi decaf yang boleh anda cuba termasuklah Cold Brew, Iced Shaken, kopi ais biasa dan juga Frappuccino.

Untuk menu yang paling popular iaitu frappuccino, Starbucks mempunyai dua pilihan kategori iaitu kopi frappuccino dan krim frappuccino. Sekiranya anda mahukan frappuccino bebas kafein, anda boleh memilih krim frappuccino.

Namun, jika anda mahukan rasa kopi tanpa kafein, pesanlah frappuccino tanpa kafein atau decaf frappuccino. Barista akan mengeluarkan sirap kopi yang berkafein dan menggantinya dengan espresso tanpa kafein.

Sumber: Starbucks Roast Spectrum

Komen