Carian
Fortnite X Nike Air Max Memperlihatkan Koleksi Edisi Terhad – Kasut Dan Tshirt ‘Airphoria’
June 21, 2023 Lina Rosli

Baru-baru ini, Nike bersama-sama dengan Fortnite telah hadir dengan sebuah kerjasama menarik menerusi projek yang dikenali sebagai ‘Airphoria’.

Menerusi projek ini, kedua-dua jenama memperlihatkan penawaran beberapa pilihan produk termasuklah tshirt dengan corak tipografi ‘Airphoria’ dan juga rekaan kasut Nike Air Max dengan pilihan warna yang vibrant tetapi masih memfokuskan kepada elemen klasik.

Bukan itu sahaja, tidak hanya sekadar penawaran produk fizikal, kerjasama antara kedua-dua jenama Fortnite X Nike Air Max ini turut menawarkan elemen digital menerusi pengenalan bandar Airphoria di dalam permainan Fortnite yang menampilkan beberapa elemen dan ciri Air Max di dalam ruang tersebut.

Sebagai contoh, di Airphoria, anda boleh melihat perayaan budaya sneakerhead yang berwarna-warni menerusi seni bina “Stesen 97,” “Menara Kotak Kasut” dan “Muzium Max.”

Ruang ini juga menampilkan lima “Air Max Grails” — the Air Max 1, Air Max 97, Air Max TW, Air Max Scorpion dan Nike Air Max Pulse yang boleh dikumpulkan untuk mendapatkan ganjaran dalam permainan. Menarik bukan? Di dalam permainan ini juga, ia memperlihatkan dua pakaian baharu untuk dijual yang dikenali sebagai Airie dan Maxxed Out Max.

Setakat ini, untuk koleksi Fortnite X Nike Air Max – Airphoria, hanya koleksi baju sahaja yang ditawarkan kepada umum yang mana anda boleh mendapatkannya melalui pembelian di laman rasmi Nike. Sementara untuk jualan kasut pula, ia masih lagi tidak dibuka untuk pembelian.

Komen