Setiap kali anda lepak di kedai makan, pasti akan ada kucing yang akan mengemis dan merayu untuk meminta makanan daripada anda – terutama sekali apabila mereka melihat anda makan.
Memberi kucing anda sebarang sisa makan atau cebisan ayam goreng yang anda tidak habis makan adalah amalan berbahaya yang tidak boleh digalakkan atas pelbagai sebab.
Pertama, kucing memerlukan nutrien yang disediakan secara khusus untuk mereka. Memang benar, seketul ayam goreng dari pinggan makan anda pastinya tidak akan membunuh kucing. Akan tetapi, apabila ia diberikan setiap kali mereka ingin mendapatkan makanan, ia akan membantu kucing membina tabiat buruk.
Oleh sebab itu, ketika anda menikmati makanan yang enak, anda tidak seharusnya berkongsi makanan dengan kucing anda. Ia bukan hanya disebabkan makanan tersebut adalah sisa makanan, tetapi hakikatnya, makanan manusia mungkin tidak baik atau tidak bersesuaian dengan perut mereka.
Malah, makanan bergula dan juga tinggi karbohidrat tidak boleh diberikan kepada kucing. Hal ini kerana, ia boleh menyebabkan kegemukan dan juga obesiti dalam kalangan kucing.
Kenyataannya, ini kerana kucing sebenarnya tidak mempunyai kemampuan biologi untuk merasakan rasa manis. Satu fakta yang lebih mengejutkan, kucing adalah satu-satunya mamalia yang tidak dapat merasakan kemanisan.
Kebanyakan mamalia mempunyai reseptor untuk merasakan sesuatu rasa. Namun, tidak untuk kucing yang mana berasal dari kumpulan mamalia juga. Kucing kekurangan reseptor untuk rasa manis.
Kucing mempunyai lebih kurang 470 deria rasa pada lidah sementara manusia pula mempunyai kira-kira 9,000 deria rasa – 19 kali ganda kucing.
Menurut cathealth.com, proses kucing mengenal sesuatu rasa adalah melalui bau yang disedut dari lidah dan bibir, yang kemudiannya digesel di lelangit. Kemudian, organ Jacobdon akan memproses dan menganalisa intipati sesuatu perisa dan bau – untuk haiwan.
Jadi adakah kucing hanya boleh makan makanan kucing atau ikan sahaja? Jawapannya adalah anda boleh memberi beberapa makanan yang boleh memberi kalsium dan protein seperti daging. Walau bagaimanapun, elakkan daripada memberikan daging yang tinggi garam kerana ia boleh menjadi toksik kepada kucing.
Anda juga boleh memberikan kucing anda keju kerana kandungan kalsium dan proteinnya tinggi. Selain itu, pisang dan beri juga baik untuk dijadikan makanan ringan yang sihat untuk kucing.