Carian
Apa Itu Paraben? Mengapa Paraben Berbahaya?
June 26, 2023 Lina Rosli

Pernahkah anda tertanya-tanya, apa itu paraben? Apakah fungsi dan keperluan paraben di dalam produk? Dan apa pula faktor yang menyebabkannya diletakkan di bawah kategori bahan kimia yang berbahaya?

Secara umumnya, paraben boleh didapati di hampir semua produk penjagaan kulit seperti pencuci muka, krim, losyen, pelindung matahari, ubat gigi, produk penjagaan rambut dan banyak lagi. Bagi yang tidak mengetahui, paraben adalah bahan yang digunakan dalam produk kecantikan untuk memanjangkan jangka hayat.

Oleh sebab itu, pengeluar produk akan menambah paraben pada formulasi sebagai pengawet untuk memastikan produk yang digunakan boleh berada di rak jualan untuk jangka masa yang lebih lama. Selain itu juga, paraben turut membantu dalam mengekalkan tekstur, minyak wangi dan kapasiti asalnya.

Paraben juga paling cenderung ditemui di dalam produk dengan peratusan air yang tinggi, contohnya syampu. Malah, apa yang menarik, terdapat beratus-ratus nama yang berbeza untuk paraben yang digunakan pengeluar termasuk Methylparaben, Propylparaben, Butylparaben dan Ethylparaben

Disebabkan penggunaan bahan paraben yang meluas, anda mungkin perlu:

  1. Semak senarai bahan pada produk sama ada ia menggunakan paraben atau tidak.
  2. Pilih produk penjagaan kulit tanpa paraben atau “Paraben-free” pada label.
  3. Lihat kandungan produk penjagaan kulit organik kerana terdapat sesetengah jenama bahan organik yang menggunakan paraben.

Menurut FDA, kandungan paraben adalah selamat dan tidak ada bukti untuk menunjukkan bahawa mereka berbahaya terhadap kesihatan manusia. Namun, masih terdapat risiko untuk dijangkiti alergi atau dipengaruhi oleh parabens dan bahan kimia tertentu tanpa mengetahui.

Mengapa Paraben Berbahaya?

Menurut penyelidik, paraben boleh bertindak seperti hormon estrogen dalam badan dan mengganggu fungsi normal sistem hormon. Ini sekaligus akan menjejaskan fungsi dan perkembangan sistem reproduktif lelaki dan wanita dan dalam pada masa yang sama turut boleh memberi kesan kepada tahap kesuburan dan hasil kelahiran.

Paraben juga boleh mengganggu pengeluaran hormon. Berdasarkan laporan U.N. Environment Programme, pakar telah mengenal pasti paraben sebagai satu kumpulan, termasuk propil dan butylparaben, sebagai bahan kimia yang mengganggu endokrin.

Apa fungsi sistem endokrin? Sistem endokrin ialah rangkaian kelenjar yang menghasilkan semua hormon yang digunakan oleh badan. Sebagai tambahan kepada hormon seks yang terkenal seperti testosteron dan estrogen, ia juga merembeskan hormon penting seperti insulin dan adrenalin.

Jadinya, apabila sistem endokrin terganggu, ia boleh menjejaskan badan dalam tiga cara utama:

  • Paraben boleh menyekat laluan antara hormon semula jadi dan reseptor.
  • Paraben bertindak secara langsung pada kelenjar, menyebabkan ia menghasilkan terlalu banyak atau terlalu sedikit hormon.
  • Paraben mungkin meniru hormon menyebabkan badan bertindak balas secara berlebihan atau bertindak balas pada masa yang salah.
Komen