Carian
Muncul Serangga Di Dalam Bekas Tepung? Itu Mungkin Kutu Tepung
June 28, 2023 Lina Rosli

Pernahkah anda berada di dalam situasi yang mana anda ingin menggunakan tepung untuk memasak dan menyediakan cucur udang, namun tiba-tiba anda mendapati bekas tepung anda diserang oleh serangga kecil yang berwarna coklat gelap dan kehitaman.

Tahukah anda, apakah nama serangga tersebut? Bagi yang tidak mengetahui, serangga yang dimaksudkan adalah kutu tepung atau turut dikenali juga sebagai kumbang tepung.

Secara umumnya, kutu tepung ini tidak menggigit. Akan tetapi, jika diberi peluang untuk membuat sarang sendiri di rumah di dapur atau pantri anda, mereka boleh menyerang pelbagai jenis makanan termasuk barangan berasaskan bijirin, buah-buahan kering atau produk sayur-sayuran dan juga keju.

Dan dalam keadaan lain, apabila pendedahan kepada serangan kutu tepung semakin teruk, ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil sebagai Grocer’s itch. Keadaan yang mana sesetengah individu mengalami alahan atau kerengsaan akibat daripada kutu.

Untuk mengelakkan keadaan kerengsaan anda semakin teruk akibat kutu dan alergen, pastikan anda menggunakan PPE (peralatan pelindung diri) yang betul termasuk sarung tangan, baju lengan panjang dan topeng muka jika anda ingin membersihkan kawasan yang diserang kutu.

Selain itu, untuk menangani isu kutu tepung adalah sama seperti menangani sebarang serangga perosak pantri. Antara praktikalnya termasuk melakukan pemeriksaan dan penyingkiran, pembersihan dan pencegahan berterusan.

Walau bagaimanapun, rawatan kimia tidak begitu diperlukan untuk menangani isu kutu tepung di dapur rumah. Dan jika anda menghadapi masalah kutu pantri, anda boleh melaksanakan beberapa langkah mudah seperti:

  • Periksa dan kenalpasti dan sumber makanan yang berpotensi mempunyai kutu tepung. Kebanyakan serangga perosak pantri dibawa masuk ke dalam rumah dalam barangan seperti roti, bijirin, tepung, buah-buahan kering dan barangan simpanan lain.
  • Sebaik sahaja anda mengenal pasti dari mana datangnya kutu tepung, adalah sangat penting untuk anda mengeluarkan sebarang produk yang dijangkiti dengan segera dan mengemas kawasan tersebut untuk mengelakkan sebarang isu berterusan atau tertinggal hama.
Komen