Kosmetik Dan Teknologi – Ini 5 Penawaran Dari L’Oreal Yang Diinovasi Menggunakan AI
Lina Rosli
Pada era awal pengenalan kosmetik, rata-rata individu tidak begitu diberi pendedahan mengenai produk kecantikan selain jenama kosmetik di pasaran juga menawarkan bilangan produk yang terhad.
Perkara ini boleh dilihat apabila kebanyakan pengeluar hanya hadir dengan beberapa penawaran warna untuk gincu dan bedak asas yang menjadikan gaya dan penggunaan produk tersebut tidak begitu meluas dalam kalangan individu di dunia.
Namun, tidak lagi pada era digital ini, orang ramai sudah mula terbuka untuk menerokai penawaran kosmetik yang ada di pasaran selain turut mempunyai barisan produk yang varieti menjadikan industri kosmetik kekal relevan sehingga ke hari ini.

Di dalam sebuah acara yang diadakan oleh L’Oreal Malaysia baru-baru ini, jenama kosmetik dunia ini memperkenalkan ‘L’Oreal Beauty Tech’ yang menggabungkan dua elemen dalam satu produk iaitu kosmetik dan juga teknologi untuk 3 kategori produk penjagaan diri mereka – penjagaan rambut, dermatologi dan kosmetik.
Untuk Beauty Tech ni, L’Oreal hadir dengan 8 fokus utama untuk produk mereka iaitu:
- Teknologi Kecantikan Yang Diperibadi (Personalize Beauty Tech)
- Teknologi Kecantikan Lestari (Sustainable Beauty Tech)
- Teknologi Kecantikan Inklusif (Inclusive Beauty Tech)
- Teknologi Kecantikan Autonomi (Autonomous Beauty Tech)
- Teknologi Kecantikan Maya (Virtual Beauty Tech)
- Kecantikan Kesihatan Kulit (Skin Health Beauty)
- Teknologi Kecantikan Terimbuh (Augmented Beauty Tech)
- Kod Baru Untuk Kecantikan (New Codes Of Beauty)
5 Produk Kecantikan Dari L’Oreal Yang Diinovasi Menggunakan AI
Di bawah ini adalah 5 jenama kosmetik di bawah L’Oreal yang boleh anda terokai akan penawarannya dan bagaimana kehadiran teknologi menjadikan produk kecantikan ini lebih unik dan versatile untuk kegunaan oleh semua individu.
YSL Rouge Sur Mesure – Peranti Gincu Yang Diperibadikan

Menurut YSL, Rouge Sur Mesure direka bagi anda yang gemar untuk bertukar-tukar warna gincu setiap hari. Ia dilengkapi dengan sistem yang dikuasakan oleh AI dalam membantu mengenalpasti palet warna bibir yang terbaik mengikut karakter individu.
Bagi setiap peranti Rouge Sur Mesure, ia menampilkan set kartrij warna daripada palet ikonik YSL seperti warna merah, nude, oren dan merah jambu. Dan daripada palet ini, sistem Perso akan mencipta beribu-ribu warna yang unik kepada individu. Hasil kemasan gincu yang ditampilkan adalah jenis YSL Beauté Velvet Cream Matte Finish.
Lancome Shade Finder – Mengenalpasti Warna Bedak Asas Bersesuaian Dengan Tona Kulit
Tidak dinafikan Shade Finder merupakan antara fungsi kosmetik yang popular dalam kalangan pengguna. Boleh dikatakan terdapat beberapa jenama telahpun memperkenalkan teknologi carian warna bedak asas yang tersendiri.

Apa yang membezakan teknologi Lancome Shade Finder mereka dengan jenama lain adalah penggunaan peranti khusus untuk menentukan tona kulit pengguna. Ia akan mengenalpasti tona kulit di tiga bahagian muka iaitu dahi, pipi dan juga dagu. Kemudian, peranti berkenaan akan mengenalpasti kumpulan tona bagi individu berkenaan dan akan mencadangkan kod warna bedak asas yang bersesuaian untuk mereka.
Buat masa ini, Lancome Shade Finder ini boleh mengenalpasti sehingga 22,500 tona warna kulit yang unik dan setiap cadangan produk bedak asas Lancome akan tersedia di kedua-dua rangkaian fizikal dan atas-talian Lancome.
L’Oreal Paris Dan Maybelline Virtual Make Up – Menyelami Dunia Kecantikan Maya
Kadangkala, apabila terdapat terlalu banyak pilihan produk di pasaran, ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna untuk mengetahui solekan terbaik untuk mereka. Oleh itu, dengan bantuan AI, ia bukan sahaja memudahkan individu untuk mendapatkan produk kosmetik yang bersesuaian dengan mereka, tetapi juga membantu individu untuk menerokai lebih lanjut berkenaan palet-palet kosmetik baharu di pasaran.
Bagi L’Oreal Paris, jenama ini hadir dengan teknologi realiti terimbuh serba baharu yang hanya memerlukan anda menggunakan telefon pintar atau kamera komputer untuk melihat sehingga 100 warna solekan dan perwarna rambut.

Sementara Maybelline pula, anda boleh membeli-belah semua Maybelline produk yang ditawarkan di atas-talian tanpa perlu risau bagaimana ia akan kelihatan pada anda. Malah, ia juga membolehkan anda mencuba berpuluh-puluh warna tanpa perlu menanggalkan solekan anda.

Dan untuk kedua-dua teknologi ini, apa yang perlu anda lakukan hanyalah merakam muka anda di hadapan kamera, kemudian, tekan pada mana-mana warna gincu, pembayang mata, bedak asas dan banyak lagi bagi melihat hasil akhir di wajah anda.
Kiehl’s Derma Reader Pro + Healthy Skin Assessment Tool – Mengetahui Kondisi Kulit Anda
Sekiranya anda ingin mengetahui keadaan kulit anda dengan lebih menyeluruh, Kiehl’s hadir dengan sistem yang membolehkan anda menganalisa keadaan kulit dengan hanya menggunakan alat penilaian yang dikenali sebagai Derma Reader Pro.

Menerusi alat ini, anda boleh menganalisis kekuatan penghalang kulit dan tahap penghidratan bagi kulit anda. Menurut Kiehl’s, Derma Reader Pro berupaya untuk mendiagnosis sehingga 14 jenis masalah kulit. Setelah penilaian kulit ini selesai dilaksanakan, Kiehl’s Skin Pros kemudiannya akan mengesyorkan bahan-bahan yang sesuai dan petua gaya hidup yang boleh dipraktikkan oleh individu.
La Roche-Posay SPOTSCAN – Hanya Dengan Imbasan Kod QR Untuk Mengetahui Status Kulit Anda

Jerawat adalah salah satu masalah kulit terbesar di seluruh dunia, yang menjejaskan 80% remaja dan 40% orang dewasa.

Berdasarkan revolusi AI dan dibangunkan dengan pakar dermatologi terkemuka La Roche-Posay, SPOTSCAN ialah alat diagnostik percuma yang ditawarkan kepada umum untuk mengenalpasti masalah kulit.
Berdasarkan perkongsian L’Oreal, SPOTSCAN hanya memerlukan tiga swafoto sahaja untuk menganalisis dan menilai ketidaksempurnaan. Ini kerana dengan bantuan teknologi AI La Roche-Posay, sebanyak 50,000 gambar yang melibatkan semua jenis kulit telah dianalisis berdasarkan pemarkahan GEA (skala Keterukan Jerawat Global), yang diiktiraf oleh pakar dermatologi.
Disahkan oleh kajian klinikal, SPOTSCAN memberikan imejan dan analisis yang paling tepat untuk mengesyorkan rutin La Roche–Posay yang diperibadikan kepada penghidap jerawat. Buat masa ini, penawaran ini tidak dibuka lagi kepada umum dan SPOTSCAN dijangka bakal tiba di laman web rasmi La Roche-Posay menjelang tahun 2024.