Carian
Korea Selatan Kini Tukar Sistem Kiraan Umur – Mula Menggunakan Sistem Umur Antarabangsa
June 28, 2023 Lina Rosli

Bagi anda yang tidak mengetahui tentang sistem kiraan umur yang digunakan Korea Selatan, terdahulu mereka menggunakan hitungan secara tradisional untuk setiap bayi yang baru lahir. Ini sekaligus menjadikan umur bagi rakyat Korea Selatan menjadi berbeza dengan sistem kiraan umur global seperti yang digunakan di Malaysia.

Sebagai contoh, untuk individu yang lahir pada tahun 1996, di Malaysia, secara umumnya mereka akan berusia 27 tahun. Namun tidak di Korea Selatan, yang mana akan ada beberapa faktor yang akan memberi kesan kepada kiraan umur seperti bulan dan juga tahun kelahiran.

Di Korea Selatan, individu yang lahir pada tahun 1996, usia mereka adalah 28 tahun yang mana sistem tradisional mereka telahpun mengira usia individu sejak sebelum lahir (1 tahun) dan setahun yang lain akan ditambah pada setiap 1 Januari.

Dengan berlakunya perubahan cara kiraan umur di Korea Selatan bermula hari ini (28 Jun 2023), rakyat Korea Selatan dilihat akan menjadi satu atau dua tahun lebih muda. Untuk pengetahuan anda, perubahan dari sudut undang-undang ini telahpun diperdebatkan sejak beberapa tahun yang lepas oleh Lee Yong-ho yang merupakan Ketua Jawatankuasa Peralihan Presiden.

Ini kerana perbezaan cara kiraan umur rakyat Korea Selatan telah menyebabkan kekeliruan dan memakan kos dalam sektor ekonomi dan sosial.

Walau bagaimanapun, untuk sistem umur yang digunakan utnuk kemasukan ke sekolah dan pengiraan umur sah untuk minum alkohol dan merokok, masih akan kekal seperti yang diperkenalkan sebelum ini.

Komen