KFC Buka Kentucky Town Di Sunway Pyramid – Menampilkan Hidangan Eksklusif Yang Tidak Pernah Ditawarkan Di Malaysia

July 3, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Bersempena ulang tahun KFC Malaysia yang ke-50, restoran makanan segera pilihan ramai ini telah mengumumkan pembukaan ‘Kentucky Town’ di ruang legar Blue Concourse, Sunway Pyramid bermula 4 hingga 10 Julai 2023.

Menurut KFC, Kentucky Town direka berdasarkan tema persahabatan. Ketika berada di Kentucky Town, pengunjung boleh melihat pelbagai ruang menarik yang telah dihias khusus untuk menggalakkan pengunjung berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

KFC juga menyasarkan untuk mencipta memori berkekalan yang akan menarik mereka untuk kembali berkali-kali ke restoran untuk mendapatkan hidangan kegemaran mereka.

Apa yang menarik, pembukaan dan pengenalan Kentucky Town ini menawarkan kepada pengunjung variasi hidangan eksklusif yang tidak pernah ditawarkan di Malaysia. Antara hidangan yang boleh anda terokai drumette lada hantu (ghost pepper), Korean cheesy paper wrap, aiskrim Zinger fire, stik wafel dengan sapuan Kit Kat dan banyak lagi tawaran yang menyelerakan dan meninggalkan kesan yang berkekalan.

Satu bahagian penting dalam pelancaran Kentucky Town juga ialah pemeteraian kerjasama KFC dengan jenama pakaian jalanan terkenal Malaysia, Pestle and Mortar dan juga artis komik yang dihormati Ujang, untuk mencipta barangan eksklusif memperingati tahun ke-50 KFC di Malaysia yang dikenali sebagai Koleksi Aku Budak Kepci.

Bagi yang tidak mengetahui, restoran KFC pertama di Malaysia dibuka pada tahun 1973 di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Dan kini KFC telah berkembang kepada rangkaian 770 restoran di seluruh negara di seluruh Malaysia.

Untuk terus mengetahui berita dan perkembangan terkini KFC Kentucky Town, anda boleh layari laman Facebook dan Instagram KFC Malaysia ataupun kunjungi ke laman web khusus KFC di https://kentuckytown.kfc.com.my/#home.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd