Carian
CMCF Menggesa Supaya Media Lebih Berhati-Hati Apabila Membuat Liputan Jenayah Melibatkan Kanak-Kanak
July 12, 2023 Lina Rosli

CMCF amat khuatir berkenaan laporan berita baru-baru ini mengenai jenayah yang melibatkan kanak-kanak. Laporan berita tersebut bukan sahaja menyerlahkan kejadian itu tetapi juga memaparkan gambar keluarga dan maklumat pengenalan lain.

Sebagai sebuah organisasi yang menggalakkan kawalan kendiri dalam memastikan ekosistem kandungan yang selamat, CMCF menggesa supaya media lebih bertanggungjawab dan berhati-hati apabila membuat liputan jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Seperti sedia maklum, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan berita sekali gus meningkatkan kesedaran awam. Bukan itu sahaja, integriti dan etika kewartawanan juga haruslah seimbang dengan keperluan bagi melindungi hak dan maruah individu terutamanya kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sepenuhnya akibat daripada kelakuan mereka.

Keperluan untuk perlindungan ini juga termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 Bahagian IV, Seksyen 5, berkenaan sekatan ke atas laporan dan penyiaran media. Undang-undang tersebut jelas menyatakan bahawa apa-apa laporan media massa tidak boleh mendedahkan atau memasukkan apa-apa butir yang membolehkan kanak-kanak terlibat untuk dikenal pasti.  

Penerbitan gambar keluarga walaupun dikaburkan yang dilaporkan di dalam laporan berita bukan sahaja melanggar privasi kanak-kanak tetapi juga mendedahkan mereka dan ahli keluarga yang lain kepada kesan negatif yang teruk termasuk trauma psikologi, stigmatisasi dan boleh menjadi halangan untuk prospek pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, media mestilah mementingkan etika dan tanggungjawab apabila menyebarkan laporan jenayah yang melibatkan kanak-kanak demi melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak sepanjang masa.

Laporan berita yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja akan memudaratkan kanak-kanak yang terlibat, tetapi ia juga mungkin menghalang kanak-kanak lain daripada mendapatkan bantuan atau sokongan apabila mereka amat memerlukannya.

Justeru itu, CMCF menggesa pihak media dan wartawan untuk mempertimbangkan perkara-perkara berikut apabila membuat laporan jenayah yang melibatkan kanak-kanak:

  1. Lindungi Identiti Kanak-Kanak: Elakkan daripada menerbitkan maklumat yang boleh mengenal pasti identiti kanak-kanak tersebut, seperti nama keluarga, alamat atau foto peribadi yang boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan prospek masa depan kanak-kanak terlibat.
  2. Kepekaan Dan Empati: Berhati-hati semasa menyampaikan butiran jenayah. Elemen sensasi yang tidak perlu boleh membawa kesan jangka panjang kepada kanak-kanak dan berupaya memburukkan lagi trauma mereka sekali gus menghalang pemulihan dan pertumbuhan mereka.
  3. Melapor Secara Bertanggungjawab: Pastikan laporan yang diterbitkan seimbang yang membentangkan fakta secara objektif tanpa naratif yang keterlaluan atau penyelewengan yang tidak wajar. Elakkan bahasa atau penerangan yang boleh memburukkan lagi keadaan kanak-kanak dan keluarga mereka.

Tidak ketinggalan, orang ramai juga harus bersama-sama menjaga hak kanak-kanak. Elakkan berkongsi atau menyebarkan laporan berita sensitif yang melibatkan kanak-kanak, terutamanya yang disertakan dengan imej atau maklumat pengenalan mereka. Tindakan sedemikian hanya mengekalkan kemudaratan yang ditimpakan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.

CMCF bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi media, masyarakat sivil dan agensi kerajaan untuk membangunkan garis panduan dan menjalankan latihan yang memberi fokus dalam meningkatkan amalan pelaporan yang bertanggungjawab mengenai jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Bersama-sama, kita boleh membentuk masa depan di mana media menjadi instrumen untuk perubahan positif dan memupuk empati dan persefahaman dalam komuniti kita.

Komen