Carian
Haiwan Perliharaan Anda Mungkin Sensitif Kepada Bunyi Yang Terlalu Kuat – Boleh Menyebabkan Tekanan Sekiranya Berlanjutan
July 10, 2023 Lina Rosli

Untuk pengetahuan anda, haiwan perliharaan seperti kucing dan anjing mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi ke atas bunyi bising. Perkara ini mungkin disebabkan oleh faktor mereka sebagai haiwan pemangsa yang membuatkan telinga mereka lebih sensitif berbanding haiwang yang lain.

Berdasarkan statistik, sekitar 40% anjing dilaporkan mempunyai fobia bunyi yang kuat seperti bunyi guruh sebelum dan ketika hujan, bunyi bunga api, bunyi yang dikeluarkan alat elektronik sewaktu anda membersihkan rumah iaitu bunyi pembersih vakum, bunyi penggerudi dan banyak lagi.

Selain daripada dua haiwan ini, guinea pig dan juga arnab turut boleh mengalami kemurungan sekiranya mereka terdedah kepada bunyi kuat yang konsisten. Dan di dalam sesetengah kes, bunyi bising tersebut boleh menyebabkan kematian ke atas arnab apabila perkara ini berlanjutan.

Setakat ini, pakar masih tidak dapat mengenalpasti bagaimana haiwan reptilia dan juga burung bertindak balas ke atas bunyi bising. Namun, dalam kebanyakan keadaan, kedua-dua kategori haiwan ini turut boleh terdedah kepada tekanan kerana ia sedikit sebanyak akan mengganggu rutin harian mereka.

Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengurangkan Kesan Bunyi Yang Kuat Ke Atas Haiwan Perliharaan Anda?

Sebagai pemilik haiwan perliharaan, perkara utama yang perlu anda lakukan adalah mengenalpasti reaksi mereka sewaktu berada di dalam situasi berkenaan sebelum memberikan bantuan yang seterusnya.

Ini kerana, setiap haiwan pastinya mempunyai reaksi yang berbeza. Oleh itu, apa yang perlu anda lakukan adalah:

  1. Perhatikan gerak geri dan reaksi mereka dengan lebih teliti. Adakah mereka akan bersembunyi di ruang yang selamat sewaktu guruh berlaku? Atau adakah mereka akan mencari kawasan yang mudah untuk melihat keberadaan anda? Atau jika mereka berada di luar, adakah mereka akan memanggil anda untuk membawa mereka masuk ke dalam rumah?
  2. Sekiranya mereka sudah berasa selamat, anda boleh mengalihkan pandangan mereka dengan cara bermain. Letakkan barang mainan atau barang yang mereka gemari untuk membuatkan mereka berasa lebih tenang.
  3. Selepas itu, anda juga boleh memasang bunyi yang lebih tenang untuk meredakan suasana yang menggentarkan haiwan perliharaan anda.

Harus diingatkan juga, sekiranya haiwan perliharaan anda tidak mengalami ketakutan terhadap bunyi yang kuat dan bising, lebih-lebih lagi bunyi bunga api, ini tidak bermakna anda boleh bermainnya dengan sewenang-wenang.

Pastikan anda tidak bermain bunga api berdekatan dengan kawasan bermain mereka. Ini bagi mengelakkan kecederaan dan insiden seperti haiwan anda mengejar bunga api yang telah dinyalakan dan sebagainya.

Komen