Carian
Kajian Mendapati 55% Pembeli Tidak Meneruskan Pembelian Sekiranya Kaedah Pembayaran Pilihan Mereka Tidak Tersedia Di Sesuatu Platform
July 10, 2023 • Lina Rosli

Menurut Laporan Runcit Adyen Malaysia 2023, pengguna Malaysia adalah antara pembeli paling arif di dunia yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap pengalaman membeli-belah yang diperibadikan di peruncit kegemaran mereka.

Dalam laporan berkenaan juga, sekitar 55% pembeli mengatakan bahawa mereka akan meninggalkan pembelian yang dilakukan jika kaedah pembayaran pilihan mereka tidak tersedia.

Selain daripada variasi kaedah pilihan pembayaran, rata-rata pembeli turut cenderung melakukan pembelian di platform yang menyediakan ganjaran kesetiaan. Walau bagaimanapun, penawaran yang ditawarkan adalah tidak bertepatan dengan keperluan pengguna.

68% daripada pembeli merasakan bahawa program kesetiaan sedia ada yang ditawarkan oleh peruncit adalah tidak menarik dan 83% mengharapkan program ganjaran yang lebih baik bagi mengekalkan kesetiaan berterusan. Dan ini sekaligus memberikan kesan kepada kadar kedatangan pembeli kepada kedai mereka.

Tambahan kepada data laporan itu, peruncit Malaysia kini mula terbeban dengan jangkaan ini dengan hampir separuh (49%) mendapati sukar untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan di tengah-tengah landskap perniagaan semasa.

Seterusnya, 53% daripada peruncit juga mengatakan mereka bergelut untuk menyediakan perkhidmatan yang diperibadikan kerana sukar untuk mengkategorikan pelanggan mengikut keperluan dan pilihan mereka.

Kaitan Antara Tabiat Pengguna Dan Pilihan Pembayaran Pelbagai Saluran 

Sekitar 66% pengguna mengatakan mereka lebih setia kepada peruncit yang menawarkan fleksibiliti untuk memulakan pembelian di dalam kedai dan menyelesaikannya secara atas-talian. Selain itu, 70% pengguna turut memilih peruncit yang membenarkan pembelian atas-talian dengan kemudahan pemulangan di dalam kedai.

Selain daripada pembelian atas-talian, kaedah pembelian secara nirtunai yang lain turut menjadi pilihan kebanyakan individu yang mana 56% pengguna suka menggunakan aplikasi mudah-alih ketika berbelanja manaka, 40% daripada pengguna mementingkan pengalaman membeli-belah pelbagai saluran, manaka 39% selesa menggunakan kiosk pembayaran sendiri sewaktu berbelanja.

Data turut menunjukkan:

  • 79% pengguna masih menggunakan pembayaran tradisional iaitu menggunkan wang tunai
  • 66% pengguna pula memilih pembayaran secara kad debit atau kredit
  • Peningkatan dalam pilihan pembayaran alternatif seperti e-dompet sebanyak 32% dan kod QR pula sekitar 24%
  • Bagi pembelian atas-talian, kaedah pembayaran utama pelanggan ialah kad debit atau kredit (62%), e-dompet (47%) dan kod QR (20%).

Industri peruncitan Malaysia telah berjaya membuktikan bahawa ia mampu menyesuaikan diri dengan corak pengguna yang berkembang. Perkara itu bukanlah satu kejayaan kecil memandangkan pembeli Malaysia mempunyai jangkaan yang tinggi bagi pengalaman membeli-belah yang lancar dan pelbagai saluran.

Komen