Carian
Kadar Penyakit Diabetes Di Malaysia Adalah Yang Tertinggi Di Rantau Asia Pasifik Dan Antara Yang Tertinggi Di Dunia
July 14, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa kadar penyakit diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik dan antara yang tertinggi di dunia?

Berdasarkan kadar prevalens diabetes, ia menunjukkan arah aliran peningkatan yang ketara daripada 11.2% dalam tahun 2011 kepada 18.3% dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019. Malah di untuk negeri di Malaysia, Negeri Sembilan mencatat kadar prevalens diabetes di kalangan orang dewasa (lebih 18 tahun) tertinggi di Malaysia dengan kadar 33.2%.

Malah, menjelang tahun 2025, diunjurkan seramai 7 juta rakyat dewasa Malaysia menghidapi diabetes sekaligus boleh memberikan kesan negatif kepada sistem kesihatan negara. Hal ini kerana, kos merawat pesakit diabetes sahaja tidak termasuk kos merawat komplikasi diabetes dianggarkan sekitar RM3 bilion setahun.

Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama dengan International Medical University (IMU), Kuala Lumpur baru-baru ini melancarkan kajian kohot berskala besar mengenai diabetes yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Kajian yang dinamakan sebagai “SeDia Cohort Study” ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji secara komprehensif kesemua faktor terlibat dalam kejadian penyakit diabetes serta komplikasi yang dialami pesakit. Setakat ini, dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetes. 

Untuk pengetahuan anda, memorandum persefahaman antara KKM dan IMU bagi penubuhan Kajian Kohot Diabetes telah ditandatangani pada 17 Mei 2022 manakala protokol kajian telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM pada 17 Mac 2023.

Kajian 12 tahun ini merupakan langkah pertama yang penting bagi mengumpul data yang relevan dengan sosio-budaya masyarakat tempatan. Ia melibatkan penyertaan lebih 5,000 pesakit diabetes yang berdaftar dengan Daftar Diabetes Klinik Kesihatan Seremban dan lebih 7,000 ahli keluarga mereka bagi mengkaji interaksi kompleks pelbagai faktor yang mempengaruhi kejadian diabetes dan komplikasinya.

Tempoh masa yang lama diperlukan kerana kejadian diabetes dan komplikasinya juga mengambil masa yang lama.

Selain itu, kajian SeDia Cohort akan mengkaji secara komprehensif semua faktor-faktor berkaitan, daripada faktor genetik dan sejarah diabetes dalam keluarga kepada faktor gaya hidup dan persekitaran, pemakanan, aktiviti fizikal, sosio-ekonomi, dan penyampaian kesihatan.

Dengan memahami interaksi kompleks pelbagai faktor ini, diharap akan menemukan kaedah terbaik mencegah dan memulihkan pesakit diabetes dan daripada situ dapat membangunkan dasar dan program kesihatan bagi menangani beban penyakit ini yang berasaskan bukti saintifik dan relevan dengan masyarakat tempatan. Ia bagi menjamin keberkesanan program perawatan dan pencegahan yang dibangunkan untuk mengekang arah aliran peningkatan beban diabetes di Malaysia.

Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit yang berakar-umbi dalam tingkah laku, budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia. Kebanyakan kajian-kajian mengenai diabetes bersifat jangka pendek dan mengkaji faktor-faktor berkepentingan secara terasing.

Kebanyakan kajian kohot diabetes yang besar seperti ini dilakukan dalam masyarakat yang berbeza daripada masyarakat Malaysia dan hasil penemuan mungkin tidak relevan dengan masyarakat tempatan.

Oleh itu, kajian SeDia Cohort ini akan memberi peluang kepada penyelidik memahami secara lebih mendalam peranan genetik dan persekitaran dalam kalangan masyarakat tempatan. Dengan demikian, ia boleh menambah baik lagi garis panduan pengurusan diabetes dan dasar kesihatan awam ke arah hasil kesihatan yang lebih baik.

Komen