Carian
Tahukah Anda Bahawa Tidak Semua Air Di Bumi Boleh Digunakan Manusia – Kurang Daripada 1%?
July 17, 2023 Lina Rosli

Berdasarkan perkongsian National Geographic, hampir 99% air yang terdapat di Bumi tidak boleh digunakan oleh manusia dan banyak hidupan lain. Dan hanya kira-kira 0.3% sahaja air tawar ataupun air segar yang boleh didapati di dalam permukaan air tasik, sungai dan paya.

Tidak dinafikan, Bumi merupakan antara planet yang mempunyai paling banyak air. Namun, berdasarkan gambar rajah yang dikongsi, 96.5% air di bumi adalah lautan dan air laut pedalaman, kemudian 0.9% daripadanya adalah lain-lain air saline, dan selebihnya iaitu 2.5% pula adalah air tawar secara keseluruhannya.

Mengapa tidak semua air tawar ini tidak boleh diakses sepenuhnya individu? Jawapannya adalah, kira-kira 68.7% air tawar dibekukan di dalam glasier dan bongkah ais. Selebihnya, 30.1% adalah air bawah tanah dan air yang berada di atmosfera.

Walau bagaimanapun, usah risau akan masalah kekurangan bekalan air di muka Bumi ini. Ini kerana, masih terdapat banyak lagi air tawar yang disimpan di dalam tanah berbanding dalam bentuk cecair di permukaan. Malah, sebahagian daripada air yang anda lihat mengalir di sungai berasal daripada resapan air bawah tanah ke dasar sungai.

Untuk pengetahuan anda, air daripada pemendakan ini akan terus meresap ke dalam tanah untuk mengisi semula akuifer, manakala pada masa yang sama air di dalam tanah secara berterusan mengisi semula sungai melalui resapan.

Setiap hari, menurut statistik, rakyat Malaysia menggunakan secara purata 251 liter air setiap orang. Dan kira-kira 7.53 bilion liter air digunakan secara keseluruhan.

Komen