Apakah Perbezaan Antara Pengawetan Krio Dan IVF?

July 18, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Bagi sesetengah orang, menjadi ibu bapa merupakan sebuah matlamat istimewa yang perlu dicapai, manakala bagi yang lain ia mungkin impian yang terpaksa ditangguh oleh sebab kesihatan atau lain-lain.

Namun begitu, di sinilah teknologi perubatan seperti pengawetan krio (cryopreservation) boleh dipertimbangkan. Prosedur ini dipanggil pembekuan oosit atau lebih dikenali sebagai pembekuan telur, dan ia adalah proses di mana telur wanita (oosit) akan diekstrak, dibekukan dan disimpan supaya ia boleh digunakan untuk persenyawaan dan kehamilan pada peringkat seterusnya. 

Menurut Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menjelaskan bahawa pengawetan krio menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan telur, sperma atau embrio pada suhu di bawah sifar sekitar -320 darjah Fahrenheit atau bersamaan dengan -195 darjah Celsius untuk disimpan bagi kegunaan masa hadapan.

Apakah Perbezaan Antara Pembekuan Telur VS IVF?

Apabila bercakap mengenai rawatan kesuburan, persenyawaan in-vitro (IVF) merupakan prosedur yang agak popular dan sesetengah orang mungkin tidak dapat membezakan antara IVF dan pembekuan telur.

Untuk pengetahuan anda, walaupun kedua-dua prosedur ini terdapat persamaan dan matlamat yang yang sama dengan pembekuan telur iaitu untuk hamil, namun kaedah dan proses yang dilakukan adalah berbeza.

Di dalam pembekuan telur, seorang wanita akan menjalani beberapa siri pengambilan ubat hormon untuk merangsang ovarinya bagi menghasilkan lebih banyak telur. Apabila telur telah mencapai kematangan, pengambilan telur (egg retrieval) akan dilakukan. Seterusnya, telur-telur ini boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Seterusnya, proses persediaan yang sama akan dilakukan bagi mereka yang menjalani IVF tetapi telur yang diambil akan disenyawakan dengan sperma pasangan di makmal. Ahli embriologi seterusnya akan memantau pertumbuhan dan perkembangan embrio. Embrio ini juga boleh dibekukan dan boleh dipindahkan ke dalam rahim wanita di kemudian hari. Telur yang telah beku boleh dicairkan dan digunakan dalam rawatan kesuburan seperti inseminasi intrauterine atau IVF.

Dengan kemajuan teknologi perubatan semasa, spesimen boleh disimpan melalui proses vitrifikasi yang menyebabkan pembekuan berlaku dengan sangat cepat (15000’C/minit), bersamaan dengan pembekuan terus. Dengan ini, Persatuan Persenyawaan dan Embriologi Manusia menyokong bahawa pengawetan krio telur, sperma dan embrio boleh disimpan sehingga 55 tahun.

Pemeliharaan Kesuburan Sperma

Seperti pembekuan telur, golongan lelaki juga boleh membekukan sperma mereka untuk memanjangkan dan memelihara kesuburan mereka melalui proses yang sama.

Juga dikenali sebagai pembekuan sperma, ia merupakan sebuah kaedah memelihara sel sperma untuk kegunaan masa hadapan dan melibatkan pengumpulan sampel air mani yang kemudian akan melalui proses pengawetan krio.

Ini adalah proses perubatan yang bermanfaat bagi pesakit lelaki yang sedang menjalani rawatan untuk keadaan kesihatan yang serius seperti kanser. Menurut Dr Ashley Chung Soo Bee, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari SMCV, kanser sendiri boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti sperma walaupun sebelum pesakit menjalani rawatan.

Bagi yang tidak mengetahui, sekiranya anda menjalani rawatan untuk kanser, berkemungkinan besar proses ini akan menyebabkan jumlah penghasilan sperma yang lebih rendah selain turut meningkatkan kecenderungan sperma rosak. Oleh itu, dengan adanya prosedur pengawetan krio ini, ia dijangka boleh mengurangkan risiko kejadian berkenaan.

Apakah Faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Pasangan Sebelum Melakukan Prosedur Pengawetan Krio?

Menurut Dr Farah, pengawetan krio membantu memelihara kualiti sperma, telur atau embrio dengan lebih baik sebelum memulakan rawatan kanser kerana ia boleh menjejaskan fungsi organ reproduksi dan menyebabkan masalah kesuburan. Selain itu, satu lagi keadaan kesihatan yang boleh menjejaskan kesuburan wanita iaitu masalah kekurangan ovari.

Masalah kekurangan ovari ini boleh berlaku apabila, penghasilan telur ovari telah berhenti berfungsi lebih awal daripada jangkaan iaitu sewaktu wanita masih belum mencapai umur 40 tahun. Malah keadaan ini juga turut boleh berlaku apabila individu tersebut mempunyai sejarah keluarga yang turut mempunyai masalah kekurangan ovari atau menghasilkan ovari yang pramatang.

Jika individu mempunyai masalah ini, adalah disyorkan untuk anda mempertimbangkan pembekuan telur sebelum mengalami keadaan ini pada masa hadapan.

Selain itu, sekiranya pasangan wanita telah mencapai umur 35 tahun ke atas, mereka disarankan untuk mendapatkan konsultasi kesuburan sekiranya mereka telah mencuba untuk hamil selama 6 bulan atau lebih, di mana pasangan tersebut akan menjalani pemeriksaan, ujian imbasan dan penilaian status kesuburan mereka.

Potensi Risiko Dan Komplikasi Akibat Prosedur Pengawetan Krio

Setiap prosedur perubatan mempunyai kesan sampingan dan risiko yang mungkin berlaku, namun pengawetan krio dianggap sebagai prosedur yang selamat untuk dijalani. 

Setakat ini, kadar kelangsungan hidup (telur dan sperma yang dibekukan) agak tinggi, walaupun terdapat kemungkinan bahawa sesetengah sel mungkin tidak dapat bertahan ketika proses pencairan. Terdapat banyak faktor dalam menentukan kadar kejayaan kehamilan.

Umur adalah salah satu faktor yang paling penting. Selain itu, makmal, peralatan dan staf perubatan juga memainkan peranan penting.

Terdapat juga kesan sampingan biasa selepas perlaksanaan prosedur pengawetan krio seperti:

  • Mual
  • Perubahan emosi
  • Rasa bahang atau panas
  • Sakit kepala

Individu juga turut berkemungkinan besar mengalami rasa ketidakselesaan perut, kembung perut dan lain-lain bergantung kepada keadaan tubuh masing-masing.

Untuk menentukan kesesuaian pengawetan krio bagi setiap individu, mereka perlu mendapatkan konsultasi dengan pakar penjagaan kesihatan yang dipercayai untuk mendapatkan maklumat lanjut dan untuk mengetahui langkah seterusnya yang terbaik ke arah perjalanan mereka dalam memulakan keluarga.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di [email protected]. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd