Bilakah Kerusi Roda Pertama Diperkenalkan?
Lina Rosli
Untuk pengetahuan anda, kerusi roda telahpun wujud sejak penciptaan roda. Sama seperti fungsinya pada masa kini, kerusi roda ini dicipta untuk individu yang mempunyai masalah mobiliti atau pergerakan.
Jadinya, kerusi roda ini membantu menguruskan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah. Menurut perkongsian, kerusi roda ini mengambil inspirasi daripada kereta sorong atau perabot beroda yang ditolak oleh atendan perubatan atau pelayan.
Pengguna kerusi roda yang pertama direkodkan adalah Philip II yang berasal daripada Sepanyol. Dia pada ketika itu menderita penyakit gout dan arthritis dan daripada situ, dia menugaskan untuk menghasilkan kerusi beroda pada akhir abad ke-16.
Dalam artikel National Geographic, idea penghasilan kerusi roda ini mengambil masa sehingga 1655 untuk mendapat hasil seperti yang sekarang.

Dalam kisah lain, terdapat seorang lagi pengguna kerusi roda terawal yang lain iaitu Stephan Farffler, seorang pembuat jam yang kehilangan penggunaan kakinya dalam kemalangan zaman kanak-kanak. Dia mencipta peranti itu supaya dia boleh mendorong dirinya ke dan dari gereja di Nuremberg, Jerman.
Ciptaannya menyerupai basikal bersandar moden, yang mana dia perlu bergantung pada engkol tangan untuk mendorong dirinya ke hadapan. Hari ini, ia dianggap sebagai pendahulu kepada basikal roda tiga.
Dan pada zaman dahulu, kerusi roda ini digunakan terutamanya oleh orang kaya untuk kemudahan pergerakan mereka. Ini kerana ia sukar dihasilkan, selain memerlukan bahan-bahan yang pelbagai untuk menciptanya.

Bilakah Kerusi Roda Diperkenalkan Secara Besar-Besaran Kepada Umum?
Penggunaan kerusi roda menjadi lebih meluas selepas Perang Saudara dan kedua-dua Perang Dunia, yang menyebabkan ratusan ribu askar mengalami masalah pergerakan. Dan pada ketika itu, kerusi roda dilihat sebagai alat perubatan, bukan aksesori untuk kehidupan disebabkan oleh saiz dan kosnya.
Namun, penambahbaikan untuk kerusi roda tidak berhenti pada waktu itu. Kemajuan demi kemajuan telah dilakukan berterusan sehingga lebih banyak lagi pengeluar kerusi roda mula memasuki industri ini.