Carian
Apakah Fungsi Dua Lubang Bulat Pada Bahagian Tepi Kasut Converse?
August 3, 2023 Lina Rosli

Converse adalah antara jenama kasut yang terkenal dalam kalangan remaja dan awal dewasa yang mana jika dahulu, sewaktu zaman sekolah, kasut Converse ini merupakan kategori kasut yang paling digemari pelajar.

Ini berkemungkinan besar disebabkan rekaannya yang minimalis selain menawarkan variasi warna yang trendy, ini sekaligus menjadikan kasut Converse antara pilihan individu sehingga ke hari ini.

Untuk pengetahuan anda, kasut Converse ini pada awalnya dicipta untuk kegunaan pemain bola keranjang. Namun, bergerak dari tahun ke tahun, penggunaan Converse lebih popular dalam kalangan pemain papan luncur (skateboard) dan juga penggayaan harian.

Sebelum kita bercerita lanjut tentang rekaan Converse, tahukah anda pada awalnya jenama kasut ini sebenarnya bermula sebagai pengeluar kasut getah atau disebut sebagi galoshes pada tahun 1908.

Di Sebalik Converse – Bagaimana Ia Bermula?

Syarikat ini ditubuhkan oleh Marquis Mills di Massachusetts, USA, menggunakan nama The Converse Rubber Shoe Company. Dan kemudian, untuk memperluaskan lagi penawaran mereka, Converse mula hadir dengan kasut yang menggabungkan dua bahan utama iaitu getah dan juga fabrik pada bahagian atas.

Pada awalnya, kasut Converse yang diperkenalkan bukanlah seperti model sekarang. Ia menggunakan warna coklat semula jadi dan pada ketika itu juga iaitu sekitar tahun 1910, individu tidak mempunyai keperluan untuk mendapatkan kasut.

Oleh yang demikian, pada tahun 1917, Converse membuat keputusan untuk hadir dengan produk yang memfokuskan kepada kasut sukan. Mereka mula menjual kasut sukan berkualiti tinggi yang dibuat khas untuk penggunaan sukan bola keranjang. Koleksi kasut ini diberi nama Non-Skids, model kasut bertali dengan rekaan high top.

Menjelang tahun 1920, Converse mula memperkenalkan koleksi ikonik mereka iaitu All Star Converse yang juga merupakan kasut untuk bola keranjang yang menjadi antara koleksi yang popular sehingga ke hari ini.

Apakah Fungsi Dua Lubang Bulat Pada Bahagian Tepi Kasut Converse?

Sehingga pada ketika ini, anda mungkin tidak pernah terfikir akan fungsi dua lubang bawah pada bahagian tepi kasut Converse anda.

Jadi untuk menjawab persoalan ini, berdasarkan perkongsian Cosmopolitan, ternyata tujuan utama dua lubang ini direka pada kasut Converse adalah untuk memberikan sedikit ruang pengudaraan ke kaki anda.

Ini kerana dengan lubang-lubang tersebut, ia membolehkan udara beredar dan menghalang kaki anda berpeluh. Perkara ini berfungsi baik sekiranya anda tidak menggunakan stoking.

Selain itu, tujuan kedua dua lubang ini direka juga adalah untuk membolehkan anda menjadi kreatif dengan mengikat tali.

Terdapat pelbagai tutorial cara ikatan tali kasut Converse yang telah dikongsikan di internet. Jadi, jangan ketinggalan untuk mencuba lebih banyak gaya ikatan baharu untuk tampil lebih trendy dan terkini ketika berfesyen.

Komen