Carian
Kesan Posisi Tidur Yang Buruk – Jumlah Individu Alami Sakit Belakang Akan Meningkat Kepada 843 Juta Menjelang 2050
August 4, 2023 Lina Rosli

Bahagian belakang atau tulang belakang anda merupakan bahagian yang menyokong tubuh anda ketika duduk dan berdiri. Jadinya, amat penting untuk anda sentiasa memastikan bahagian belakang ini berada di dalam keadaan yang baik.

Secara umumnya, bermula daripada tengkuk hingga ke punggung, ia berfungsi sebagai asas kepada tubuh dan kini boleh dikatakan hampir kebanyakan individu tidak menjaganya dengan betul. Menurut pakar kesihatan, masalah sakit belakang sudah semakin berleluasa dalam kalangan orang dewasa termasuk kanak-kanak.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan bahawa bilangan orang yang mengalami sakit belakang dijangka akan meningkat kepada kira-kira 843 juta menjelang 2050.

Perkara ini dikatakan adalah berpunca daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat dan selamat selain turut disebabkan oleh posisi badan sewaktu tidur yang memudaratkan sehingga memberi kesan kepada kesihatan tubuh.

Mengapa Posisi Tidur Yang Buruk Beri Kesan Negatif Kepada Tulang Belakang?

Untuk pengetahuan anda, postur dan posisi tidur sememangnya memainkan peranan yang penting di dalam menentukan kesihatan tulang dan bahagian belakang anda.

Tahukah anda bahawa menggunakan terlalu banyak bantal, posisi tidur tegak ketika di atas kerusi, atau tertidur di atas sofa merupakan posisi tidur yang buruk dan boleh menjejaskan bahagian belakang anda?

Ini kerana sewaktu berada di dalam posisi ini, tulang belakang anda tidak berada dalam kedudukan neutral selain meningkatkan titik tekanan pada satu-satu bahagian. Kesannya, ia menyebabkan badan berasa tidak selesa dan sakit sekiranya ia berlanjutan sehingga satu tempoh waktu yang panjang.

Selain daripada 3 posisi tidur di atas, anda juga tidak disyorkan untuk tidur dalam keadaan posisi meniarap, posisi baring menghadap ke bawah. Kedua-dua posisi tidur ini adalah postur yang paling tidak sesuai dengan sokongan belakang dan harus dielakkan.

Tetapi jika ini adalah posisi yang anda minati secara semula jadi, dan anda tidak mempunyai masalah belakang yang perlu dibimbangkan, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk tidur secara meniarap. Namun, anda perlu meletakkan bantal di bawah anda, iaitu di sekitar pelvis dan perut bawah anda, untuk mengurangkan sebarang ketegangan pada bahagian belakang.

Komen