Carian
Apakah Warna Lampu Yang Bersesuaian Digunakan Sewaktu Tidur?
August 7, 2023 Lina Rosli

Secara umumnya, badan bagi setiap individu sudah sedia maklum dengan jenis pencahayaan yang dipasang di sekitar. Sebagai contoh, apabila waktu siang, badan akan berada di dalam keadaan sedar yang menjadikan rasa ingin tidur itu tidak dialami terlalu ketara.

Berbeza pula sewaktu hari menjelang malam, ataupun ketika matahari terbenam, badan anda mula memperoleh isyarat bahawa waktu tidur sudah menghampiri. Ini merupakan respons normal oleh badan apabila mereka mendapati kawasan di sekitar mulai gelap dan sesuai untuk tidur.

Bilik gelap adalah keadaan yang terbaik untuk tidur. Ini kerana ia akan mengoptimumkan paras melatonin dalam badan dan sekaligus memberi kesan yang positif kepada kualiti tidur.

Bagaimana Warna Cahaya Lampu Mempengaruhi Tidur?

Cahaya mempengaruhi jam biologi semulajadi badan yang mengawal masa tidur. Dan ia merupakan komponen penting dalam irama sirkadian setiap orang. Apabila di luar terang, badan tahu sudah tiba masanya untuk berjaga, dan apabila gelap, badan bersiap untuk tidur.

Bukan itu sahaja, cahaya juga mempengaruhi pembebasan melatonin, hormon semulajadi yang membantu tidur. Kelenjar pineal di otak menghasilkan melatonin sebagai tindak balas kepada kegelapan. Tetapi, jenis cahaya tertentu boleh menghalang pengeluaran melatonin.

Maka tidak hairanlah, sekiranya anda bermain telefon pintar atau gajet ketika berada di atas katil dan sudah bersedia untuk tidur, potensi untuk anda berjaga lebih lama adalah lebih tinggi. Ini kerana pendedahan kepada cahaya terang dan warna tona sejuk, seperti cahaya biru daripada telefon bimbit, komputer dan televisyen, boleh menghalang pengeluaran melatonin.

Apakah Warna Cahaya Lampu Terbaik Untuk Tidur?

Seperti yang dibincangkan di atas, warna hangat seperti merah, oren dan kuning adalah pilihan yang baik untuk anda gunakan di dalam bilik.

Lampu merah

Untuk pengetahuan anda, penggunaan lampu atau cahaya berwarna merah dikatakan tidak menjejaskan irama sirkadian, jadi ia adalah salah satu lampu terbaik untuk digunakan pada waktu malam.

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada cahaya merah boleh meningkatkan tidur dan meningkatkan pengeluaran melatonin. Pendedahan kepada lampu merah semasa tidur dan semasa bangun boleh mengurangkan kemungkinan berasa letih dan tidak fokus pada waktu pagi, yang dikenali sebagai inersia tidur. Namun, jika lampu merah terlalu terang, ia boleh menyekat pengeluaran melatonin.

Lampu kuning dan jingga

Lampu berwarna kuning malap dan oren mempunyai kesan yang tidak ketara pada irama sirkadian dan merupakan pilihan yang baik untuk digunakan pada waktu malam. Pendedahan kepada cahaya ini boleh meningkatkan pengeluaran melatonin, terutamanya berbanding dengan warna yang lebih sejuk seperti cahaya biru.

Apakah Warna Cahaya Lampu Yang Beri Kesan Negatif Kepada Tidur?

Berbeza dengan warna hangat yang boleh membantu tidur, warna yang lebih sejuk memberi isyarat kepada badan bahawa sudah tiba masanya untuk bangun. Hal ini disebabkan cahaya yang terang menggalakkan perhatian dan kewaspadaan dan berkemungkinan besar akan menyukarkan individu untuk tidur jika dilihat pada waktu malam.

Lampu biru dan hijau

Cahaya yang berwarna biru merupakan reseptor cahaya dalam mata yang mempengaruhi irama sirkadian. Oleh sebab itu, mata amat sensitif kepada cahaya biru. Oleh itu, jika anda melihat cahaya biru yang kerap pada waktu malam secara kerap, ia boleh menurunkan kualiti tidur harian anda.

Disebabkan cahaya biru dipancarkan daripada banyak lampu tiruan dan skrin elektronik, seperti telefon bimbit, komputer dan televisyen, elakkan menggunakan peranti elektronik yang memancarkan cahaya biru sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur.

Selain itu, pertimbangkan untuk menggunakan cermin mata menghalang cahaya biru, yang telah ditunjukkan dapat meningkatkan tidur di kalangan orang yang mengalami insomnia.

Komen