Kombucha – Apakah Yang Terkandung Di Dalam Minuman Teh Yang Ditapai Ini?

August 8, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Anda mungkin pernah melihat minuman bernama ‘Kombucha’ sama ada di kedai runcit, atau di kiosk minuman, atau di restoran tertentu. Kebiasaannya, minuman kombucha ini akan tersedia di dalam botol dan akan disimpan di dalam ruang penyimpanan yang sejuk.

Bagi yang tidak begitu mengenali kombucha, minuman ini sebenarnya bukanlah satu minuman yang baharu. Kombucha adalah minuman purba yang telah diperkenalkan sejak seawal 220 S.M. Ia adalah minuman yang ditapai yang dibuat dengan teh, gula, bakteria dan yis.

Cecair yang terhasil mengandungi cuka, vitamin B, dan beberapa sebatian kimia lain. Kombucha juga merupakan minuman bergas, rendah kalori yang terdapat dalam pelbagai perisa. Ia seperti soda tetapi juga mempunyai sedikit rasa cuka.

Apakah Rasa Kombucha?

Disebabkan kombucha adalah minuman yang telah ditapai, ia akan menghasilkan rasa yang bergas, masam, dan kadangkala hanya ada sedikit sahaja rasa manis.

Bergantung pada perisa tambahan, anda juga mendapati rasa sensasi bunga, herba atau buah.

Untuk pengetahuan anda juga, rata-rata teh kombucha yang dijual di pasaran pada masa ini melakukan proses penapaian yang dijalankan dengan larutan teh dan gula oleh pemula kultur kombucha yang dipanggil Symbiotic Culture of Bacteria and Yeast (SCOBY).

SCOBY sendiri terbentuk daripada simbiosis bakteria asetik, bakteria asid laktik, dan yis osmofilik, yang digabungkan ke dalam tisu selulosa. Seterusnya, pengeluar akan menambah sama ada daun Camellia sinensis hitam, hijau, atau oolong dan kemudian menambah gula pasir di dalamnya.

Akhir sekali, pada suhu bilik, lapisan selulosa atau SCOBY diinokulasi. Bakteria asid asetik SCOBY dan yis menapai dan mencirikan minuman.

Kelebihan Kombucha Dari Sudut Kesihatan

Kombucha mempunyai nilai pemakanan yang lebih tinggi daripada teh biasa. Aktiviti mikroorganisma semasa proses penapaian menghasilkan pelbagai sebatian yang bermanfaat untuk kesihatan, termasuk asid organik seperti asid glukuronik dan asid asetik.

Selain itu, kombucha juga mengandungi asid amino, asid folik, enzim, antibiotik, dan sebatian fenolik (semakin tinggi kandungan sebatian fenolik yang dihasilkan, semakin tinggi aktiviti antioksidan). Bukan itu sahaja, kombucha juga mengandungi lebih banyak vitamin organik dan asid amino daripada teh biasa.

Daripada pelbagai ramuan yang ada, sudah pasti khasiatnya sangat bagus untuk kesihatan tubuh badan. Sebahagian daripadanya adalah:

  • berfungsi sebagai antibakteria, antidiabetik, antioksidan, dan probiotik untuk menjadikan usus lebih sihat dan membantu pergerakan usus dengan lebih lancar
  • meningkatkan mikroflora usus
  • menurunkan tekanan darah
  • meningkatkan daya tahan badan
  • menurunkan kolesterol
  • mencegah penyakit kardiovaskular
  • merangsang sistem imunisasi badan
  • mengurangkan keradangan

Kombucha juga boleh meningkatkan penghadaman, merawat bengkak dubur, mencegah kanser, dan merawat sembelit dan sakit kepala.

Cara Penyimpanan Kombucha Di Rumah

Secara umumnya, kombucha akan menghasilkan sejumlah alkohol, namun pada kuantiti yang sedikit (tidak setinggi seperti yang boleh didapati dalam bir atau wain).

Untuk pengetahuan anda, jumlah alkohol di dalam kombucha adalah sangat hampir dengan paras yang terdapat dalam jus buah-buahan dan minuman bukan alkohol lain di rak kedai, yang bermaksud hampir tiada peluang untuk menjadi mabuk hanya dengan meminum minuman kombucha.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan, untuk memastikan paras alkohol kombucha berada pada tahap yang rendah, anda dicadangkan untuk menyimpan kombucha anda di dalam peti sejuk. Ini kerana apabila anda menyimpannya pada suhu bilik, ia boleh menyebabkan proses penapaian terus berlaku, dan seterusnya menghasilkan lebih banyak kandungan alkohol lebih daripada yang sepatutnya.

Sumber: Halalmui, Rise Kombucha

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd