Apa Itu Café Au Lait? Apakah Perbezaannya Dengan Latte Dan Capuccino?
Lina Rosli
Terdapat berpuluh-puluh minuman kopi berasaskan susu tersedia pada menu kedai kopi. Ada latte, ada flat white, ada macchiato dan banyak lagi. Tidak terkecuali, Café au lait juga tergolong di dalam kategori yang sama.
Untuk pengetahuan anda, café au lait, latte dan cappuccino adalah semua minuman kopi yang popular, dan walaupun mereka menampilkan asas yang sama, tetapi kesemuanya mempunyai profil rasa dan kekuatan yang berbeza disebabkan oleh perbezaan bahan yang digunakan dan penyediaannya.

Café au lait dibuat dengan kopi yang dibancuh yang biasanya menggunakan dua kali ganda jumlah kopi, dan kurang susu berbanding dengan latte, ini sekaligus menghasilkan rasa kopi yang lebih kuat.
Latte pula sebaliknya, menggunakan sedikit espresso dan nisbah susu kepada espreso yang lebih tinggi, ini sekaligus menjadikannya lembut dalam rasa.
Manakala Cappucino pula terkenal dengan rasa yang seimbang, menggunakan bahagian espresso, susu kukus dan buih susu yang sama.
Café Au Lait Mempunyai Cara Penyediaan Yang Berbeza Di Setiap Negara
Memandangkan café au lait telah diadaptasi di banyak negara yang berbeza di seluruh dunia, ia secara teknikalnya mempunyai banyak variasi.
Sebagai contoh, café au lait berasal dari Perancis. Namanya secara langsung diterjemahkan sebagai “kopi dengan susu”. Dan ada segelintir kedai yang menyediakan café au lait di dalam cawan besar atau mangkuk. Ini kerana, orang Perancis akan menikmati sarapan mereka dengan mencelupkan pastri mereka ke dalam kopi semasa sarapan pagi.

Namun di Eropah, café au lait disediakan dengan menambah susu yang dipanaskan pada bancuhan espresso dalam nisbah 1:1. Dan di kebanyakan kedai, minuman itu kadangkala hanya ditambah dengan sedikit atau tiada buih pada cawan kopi.
Banyak lagi versi lain café au lait wujud di seluruh dunia. Di Poland, café au lait dipanggil kawa bilala. Di Jerman, ia dikenali sebagai milchkaffee. Manakala di Hungary, kopi ini dipanggil tejeskávé, dan versi Belanda bagi minuman café au lait ialah koffie verkeerd yang bermaksdu “kopi yang salah”, kerana orang Belanda biasanya minum kopi dengan susu sangat sedikit). Di Brazil, café au lait dikenali sebagai café com leite.