Pandang Pertama – Apa Yang Menarik Pada Samsung Galaxy Z Flip5?

August 13, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Jika Tajria diberi peluang untuk senaraikan 3 perkara yang saya idamkan pada telefon pintar, saya akan katakan ‘Trendy‘, ‘Berkualiti‘ dan ‘Premium‘.

Mengapa saya perlukan 3 perkara ini pada telefon pintar?

Hal ini kerana, antara keperluan penting yang diperlukan oleh seorang wanita yang hidup pada dunia moden ini adalah peranti serba boleh yang mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja dan yang paling penting bergaya.

Secara jujurnya, apabila Samsung secara rasminya mengumumkan kemaskini baharu untuk siri boleh-lipat mereka, Tajria sangat teruja untuk mencuba Samsung Galaxy Z Flip5 sebagai peranti utama harian.

Dengan menampilkan rekaan dan kemasan yang penuh gaya, Samsung Galaxy Z Flip5 adalah antara peranti yang paling ‘trendy’ untuk tahun 2023 ini. Tambah lagi Samsung kini telah membuat satu perubahan yang besar pada rekaan skrin luar, pastinya semua orang tidak mahu ketinggalan menjadi yang terawal untuk mencuba.

Jadi, mampukah Samsung Galaxy Z Flip5 memenuhi keperluan Tajria ini?

Pengalaman Pertama Menggunakan Samsung Galaxy Z Flip5

Pertama kali Tajria memegang Samsung Galaxy Z Flip5, ia seakan memberikan pengalaman yang baru terutamanya apabila anda melihat pada bahagian skrin hadapan. Saiznya boleh dikatakan hampir berkali ganda lebih besar.

Dan ini sekaligus membuatkan lebih banyak aktiviti boleh dilakukan terus di skrin luar Samsung Galaxy Z Flip5 seperti, membalas mesej, membaca notifikasi dengan lebih jelas, merakam video dan gambar dengan lebih mudah dan banyak lagi.

Tidak dinafikan, pada ada awal penggunaan Samsung Galaxy Z Flip5, penulis berasa agak janggal dan kekok lebih-lebih lagi ketika pertama kali memegang dan menggenggam peranti. Mengapa sedemikian? Perkara ini mungkin disebabkan saiz peranti yang agak nipis selain saiz skrin yang agak panjang apabila dibuka.

Perbezaan paling ketara antara Samsung Galaxy Z Flip4 dan Z Flip5 selain daripada saiz skrin adalah susunan kamera luar serta panel kerangka luar peranti yang kini tidak lagi menggunakan kemasan matte. Samsung dilihat kembali menggunakan panel kaca yang licin dan berkilat yang pernah digunakan sewaktu model Z Flip3.

Perubahan ini tidaklah memberikan impak yang sangat besar kepada peranti, namun ia adalah satu penambahbaikan yang memberikan satu kepuasan kepada penulis. Hal ini kerana, penggunaan panel kaca yang berkilat ini sememangnya memberikan imej yang tampak lebih premium dan eksklusif ketika berada di tangan selain ia mengurangkan risiko mudah calar kerana Samsung menggunakan teknologi Armor Aluminium yang dikatakan tahan lasak dan dapat melindungi binaan peranti.

Adakah Terdapat Kesukaran Untuk Melipat Dan Membuka Peranti?

Jawapannya tidak.

Sepanjang penggunaan Samsung Galaxy Z Flip5 selama dua minggu, pengalaman melipat dan membuka peranti adalah sangat lancar. Tidak ada sebarang kesukaran untuk membuka peranti sewaktu menjawab panggilan telefon mahupun ketika ingin membalas mesej.

Malah, rekaan Flip generasi ini juga adalah lebih rata, padat, nipis dan tahan lasak. Dengan sisi yang rata, pengalaman memegang peranti terasa lebih selesa dan selamat di dalam tangan.

Tambahan, Samsung kini menggunakan engsel yang telah direka semula yang menjadikan lipatan menjadi tertutup lebih rapat. Dan apa yang lebih penting sekali Z Flip5 masih lagi melepasi piawaian kalis air IPX8 yang bermakna ia boleh dicelup dalam air tetapi tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis debu.

Apakah Yang Boleh Anda Lakukan Di Skrin Luar Samsung Galaxy Z Flip5?

Berbanding saiz skrin bagi model terdahulu, sudah tentu model Samsung Galaxy Z Flip5 ini mempunyai rekaan skrin yang lebih besar. Sewaktu acara Unpacked 2023 yang lepas, Samsung turut memperlihatkan pelbagai aktiviti yang boleh pengguna lakukan pada skrin luar Samsung Galaxy Z Flip5.

Ini termasuklah anda boleh menyambung aplikasi YouTube yang dibuka pada Flex Window terus pada skrin dapat sejurus selepas ia dibuka. Dengan ini, ia memberikan kelancaran pada tahap yang lebih tinggi bagi anda yang gemar menonton video di Youtube menggunakan telefon pintar. Namun, setakat ini, ia tidak menyokong ciri sambungan tontonan dari skrin dalam ke luar.

Sewaktu pertama kali menggunakan telefon boleh-lipat ini, ia boleh dikatakan agak menarik. Hal ini kerana, menggunakan ciri Flex Mode juga, penulis boleh terus mengakses kamera, YouTube, dan Google Meet. Dan dalam mod ini juga, peranti boleh dilipat 90 darjah dan berdiri di atas permukaan rata untuk sesi telesidang atau merakam video.

Malahan, ditambah lagi dengan kehadiran Flex Window luar yang besar, Flex Mode juga boleh digunakan untuk mengambil gambar atau video dengah lebih mudah yang mana anda boleh mencuba untuk merakam video ala-ala memegang sebuah kamera camcorder klasik.

Hasil dari ciri Flex Mode ini, pengalaman penggunaan Samsung Galaxy Z Flip5 sememang lebih trendy dan selari dengan 3 perkara awal yang disebut oleh Tajria pada perenggan pertama artikel ini tadi. Menarik bukan?

Rakaman Gambar Untuk Artikel Yang Cukup Memuaskan

Pastinya, tidak lengkap peranti tanpa penawaran kamera. Samsung Galaxy Z Flip5 hadir dengan sistem dwi-kamera dengan lensa utama 12-megapixel OIS (Optical Image Stabilization). Ia juga turut disokong oleh lensa sudut lebar 12-megapixel pada bahagian skrin hadapan.

Berdasarkan penggunaan pertama kamera pada peranti, ia boleh dikatakan melepasi jangkaan penulis kerana hasil gambar yang dirakam adalah baik dan cukup jitu. Lebih-lebih lagi ia hadir dengan sokongan sistem HDR, maka ia memberikan imbangan warna yang memuaskan pada hasil gambar tanpa mengira situasi dan pendedahan cahaya di persekitaran.

Saiz Yang Kompak Yang Memudahkan Pergerakan Ke Mana-Mana

Antara sebab mengapa saya merasakan peranti Samsung Galaxy Z Flip5 ini sesuai untuk wanita yang mementingkan gaya hidup moden adalah, peranti ini menawarkan saiz yang kompak dan mudah untuk disimpan di dalam beg tangan tanpa perlu risau ruang beg menjadi penuh dan menyukarkan proses penyimpanan.

Dengan ini, anda boleh bergaya dan dalam pada masa yang sama dapat menggunakan peranti yang lengkap segalanya tanpa perlu membawa satu atau dua peranti yang lain.

Untuk pengetahuan anda, peranti ini juga boleh dikatakan agak ringan kerana ia hadir dengan berat hanya sekitar 187g sahaja. Oleh itu, anda mungkin tidak perasan apabila menyimpannya di dalam poket ketika berada diluar. Jadi, jika anda membawa peranti ini sewaktu berjalan, pastikan anda kerap memeriksa poket anda!

Akhir sekali, untuk bateri yang ditawarkan pada Samsung Galaxy Z Flip5, ia dilengkapi bateri berkapasiti 3,700 mAh bersama sokongan pengecasan pantas 25W. Secara kasarnya, tempoh ketahanan bateri peranti boleh dikatakan agak lama. Jadinya, anda tidak perlu membawa sokongan pengecasan tambahan seperti powerbank ketika anda berada di luar.

Pada pendapat Tajria sendiri, Samsung Galaxy Z Flip5 ini sememangnya hadir dengan rekaan dan barisan spesifikasi yang menarik. Ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan beberapa fungsi yang mampu memikat hati.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini?

Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda dan sesuaikah ia digunakan oleh anda yang memerlukan peranti yang lengkap dengan 3 perkara ini – ‘Trendy‘, ‘Berkualiti‘ dan ‘Premium‘? Nantikan ulasan Samsung Galaxy Z Flip5 ini di dalam artikel seterusnya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd