Carian
Sushi Termahal Di Dunia Dijual Pada Harga Mencecah RM11,471 Satu Set
August 15, 2023 Lina Rosli

Sushi Kirimon, sebuah restoran di Osaka, Jepun, baru-baru ini telah menambah dan memperkenalkan satu hidangan sushi premium yang dijual pada harga yang tinggi.

Berdasarkan perkongsian, set hidangan “Kiwami Omakase” yang terdiri daripada 20 keping sushi ini berharga JP¥350,000 bersamaan dengan harga ringgit Malaysia sekitar RM11,471. Dan ini sekaligus menjadikannya sushi paling mahal di dunia.

Untuk pengetahuan anda, set hidangan ini menampilkan bahan-bahan asas yang didapatkan dari seluruh Jepun. Ini termasuk penggunaan ikan tilefish yang berasal dari Oita, udang butang yang datang dari pulau paling utara Hokkaido, ikan shinko dari Shizuoka, udang harimau dari Awaji dan nasi yang digunakan untuk nigiri dari wilayah Akita.

Bukan itu sahaja, ada juga bahan-bahan yang dibeli dari luar Jepun seperti cendawan matsutake dari China, truffle hitam dari Itali, dan daging ikan paus dari Lautan Atlantik Utara.

Menjadikan hidangan ini lebih berharga adalah, restoran Sushi Kirimon ini menggunakan teknik dan kaedah tradisional yang bertujuan untuk mencipta hidangan ini untuk mempromosikan Washoku (masakan tradisional Jepun).

Rekod sebelum ini telah dipegang oleh chef Angelito Araneta Jr. pada tahun 2010, yang menawarkan lima hidangan nigiri yang dihiasi dengan berlian dan dibalut dengan daun emas 24 karat berharga sekitar $1,978.

Komen